Memastikan belia desa celik AI, tidak tercicir dalam Revolusi Digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Memastikan belia desa celik AI, tidak tercicir dalam Revolusi Digital

Oleh Ts. Dr. Siti Nur'asyiqin Ismael

Seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, Malaysia juga merupakan salah satu negara yang tidak terkecuali dalam menceburi bidang teknologi kecerdasan buatan (AI).

 

Demi mencapai matlamat ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan program AI 4 Belia dan Masyarakat yang memberi tumpuan kepada masyarakat luar bandar bagi meningkatkan kesedaran dan kemahiran belia dalam teknologi AI. 

 

Program ini bertujuan memberi pendedahan penggunaan teknologi AI bagi membantu urusan dalam kehidupan harian, mencipta penyelesaian berasaskan AI serta memberi pendedahan digital kepada masyarakat luar bandar demi memastikan masyarakat luar bandar juga tidak terkecuali dalam arus digitalisasi yang kian pesat berkembang. 

 

Selain Malaysia, negara China, India, Amerika Syarikat dan Singapura juga tidak terkecuali membangunkan program AI untuk rakyat.

 

Namun begitu, sasaran peserta dan penekanan khas dilihat berbeza bergantung kepada tahap kesedaran dan kumpulan fokus bagi program tersebut.


 

TLDM

 


Perincian jenis program mengikut negara dan sasaran peserta adalah seperti berikut:
 

  • Malaysia menyasarkan belia dan masyarakat luar bandar bagi memberi penekanan khas terhadap kesedaran asas dan keterangkuman digital.
     
  • Singapura pula melaksanakan pendekatan dengan menyasarkan semua peringkat umur dengan memberi penekanan khas kepada pembelajaran berperingkat dan mudah capai agar tiada rakyat yang akan ketinggalan dalam teknologi bidang AI ini.
     
  • China menyasarkan pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta memberi penekanan khas terhadap pendidikan formal dan industri AI Nasional demi mempersiap generasi muda dalam mendalami bidang teknologi AI
     
  • Amerika Syarikat pula menyasarkan belia minoriti dan luar bandar serta memberi penekanan khas terhadap peluang professional AI
     
  • India menyasarkan pelajar sekolah kerajaan dan memberi penekanan khas terhadap projek komuniti dan aplikasi AI praktikal bagi memberi sumbangan berterusan terhadap komuniti setempat.

 

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, dalam ucapannya semasa Majlis Pelancaran Program AI 4 Belia dan Masyarakat, inisiatif ini selari dengan elemen Daya Cipta dalam kerangka Malaysia MADANI, dengan membimbing belia dan masyarakat untuk mencipta solusi berasaskan AI yang memberi impak positif kepada komuniti dan pembangunan negara. 

 

Cabaran dalam melaksanakan Program AI 4 Belia dan Masyarakat


Akses masih terbatas

Walaupun fokus bagi program AI ini menyasarkan masyarakat di luar bandar, namun, akses masih terbatas kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja. Ini berikutan beberapa daerah di Sabah dan Sarawak juga ada yang masih tidak menerima fasiliti yang mencukupi bagi tujuan ini. 

 

Tahap pengetahuan asas yang berbeza

Ini juga merupakan cabaran yang besar apabila sesetengah peserta didapati agak tidak terdedah dalam asas ICT, menyebabkan penerimaan AI agak sukar bagi mereka. Pengelasan peserta ini dilihat penting mengikut tahap pengetahuan asas agar program dapat berjalan dengan lancar.

 

Sumber tenaga pengajar yang terhad

Tidak semua kawasan mempunyai sumber tenaga pengajar yang mencukupi, apatah lagi yang menjurus dalam teknologi AI. Rentetan ini, program ini menitikberatkan ceramah kesedaran bagi memberi pendedahan sewajarnya dan tidak menjurus kepada kemahiran yang mendalam.

 

Ruang Penambahbaikan Program AI 4 Belia dan Masyarakat    

Program ini merupakan inisiatif kerajaan yang sangat baik dan perlu diteruskan bagi melahirkan generasi belia yang mampu berdaya saing di masa hadapan khususnya dalam bidang AI.

 

Namun, beberapa aspek boleh diperhalusi dan ditambahbaik bagi memberi impak yang lebih berkesan di masa hadapan:

 

Perluasan geografi 

Membuat semakan geografi bagi peserta dengan membuat jaringan kerjasama dengan badan-badan Non-Government Organisation (NGO), syarikat swasta, institut latihan atau universiti setempat agar kawasan pedalaman dapat diakses dan informasi dapat disampaikan dengan baik.

 

Penyediaan modul secara berperingkat 

Penyediaan Modul perlu ada peningkatan dan lanjutan agar ada peningkatan ilmu dari semasa ke semasa dengan menyediakan portal bagi latihan kendiri yang menjurus kepada penilaian kendiri. Ini bagi memastikan kelestarian pembelajaran sepanjang hayat dan secara tidak langsung menanam semangat peserta dalam menerokai teknologi AI disamping dapat mempersiap diri bagi menghadiri kursus AI selanjutnya.

 

Kerjasama Strategik dan Usahasama Industri

Kerjasama strategik dengan pihak syarikat atau universiti tempatan dilihat dapat meningkatkan peluang dan keinginan peserta dalam mendalami teknologi AI. Sebagai contoh, peserta yang berjaya menghabiskan program dengan jayanya berpeluang mendapatkan sijil yang mampu diterima oleh syarikat-syarikat terpilih bagi mempraktiskan apa yang dipelajari. Secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan ruang kerjaya dan laluan peningkatan kerjaya dapat diperhalusi secara berperingkat.

 

Mempersiap jumlah tenaga pengajar yang mencukupi dan berkemahiran AI

Tenaga pengajar yang mencukupi dan mempunyai kemahiran AI dilihat sangat penting. Tenaga-tenaga pengajar ini perlu diberi latihan intensif bagi memperkukuh ilmu dan akan mengajar mengikut tahap-tahap yang tertentu.

Selain itu, galakan daripada semua pihak seperti pihak kementerian, universiti awam dan swasta, syarikat swasta, NGO, Institut latihan dan lain-lain memainkan peranan penting dalam mempersiap dan menyokong inisiatif ini agar kerjasama yang menyeluruh daripada semua pihak mampu mengatasi masalah kekurangan jumlah tenaga pengajar yang berkemahiran AI.

Kerjasama yang utuh ini juga mampu membuka ruang pelaburan yang lebih luas demi memastikan aspirasi kerajaan terlaksana.

 

Tiada belia tercicir

Sokongan dan dorongan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung amat diperlukan agar program AI yang dilaksanakan dapat mencapai objektif.

 

Kerjasama yang utuh antara pihak kerajaan dan swasta dijangka dapat meningkatkan kadar pelaburan ke atas program-program seumpama ini dan mampu menarik minat belia bandar dan luar bandar khususnya.

 

Secara tidak langsung dapat melahirkan generasi AI yang mampu mencipta penyelesaian berasaskan AI serta memberi impak terhadap pembangunan negara.  - DagangNews.com

 
ahibs
Ts. Dr Siti Nur’asyiqin Ismael adalah Pensyarah Kanan dalam bidang Teknologi Maklumat di Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, UTM