Jurang Pendigitalan Desa: Antara Dasar Canggih dan Realiti Ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jurang Pendigitalan Desa: Antara Dasar Canggih dan Realiti Ekonomi

Oleh Khaulah Azwar Syahar Alam dan Velan Kunjuraman

Penggunaan teknologi digital kini menjadi nadi utama pembangunan ekonomi negara. Namun bagi masyarakat desa, keupayaan untuk mengejar arus pendigitalan tidak semudah yang disangka.

 

Walaupun Malaysia sedang bergerak ke arah ekonomi digital yang lebih inklusif, masyarakat desa masih berdepan kekangan asas seperti akses internet yang tidak stabil, infrastruktur yang lemah dan tahap literasi digital yang masih rendah.

 

Transformasi digital Malaysia seharusnya menjadi pemangkin perubahan ekonomi luar bandar, namun jurang antara dasar yang diumumkan dengan kesannya di lapangan masih terlalu besar.

 

Walaupun pelbagai strategi seperti MyDigital, Dasar 4IR Negara dan program e-dagang luar bandar diperkenalkan, pembangunan digital di desa masih bergerak dalam rentak yang perlahan dan tidak konsisten.

 

Hakikatnya, capaian internet luar bandar yang kini mencecah lebih 90 peratus tidak membawa makna besar jika liputan tersebut hanya mencukupi untuk penggunaan asas seperti WhatsApp dan penstriman berkualiti rendah, tetapi tidak menyokong aktiviti ekonomi bernilai tinggi seperti e-dagang, automasi pertanian, pembelajaran digital mahupun transaksi kewangan berasaskan aplikasi.

 

Infrastruktur jalur lebar yang tidak stabil, pusat internet desa yang tidak disenggara, kekurangan tenaga mahir serta kebergantungan kepada projek jangka pendek menjadikan pendigitalan luar bandar sekadar penanda aras angka, bukannya penanda aras hasil.

 

Infrastruktur Digital: Antara Liputan dan Keberfungsian

Teknologi di desa bukan kekurangan potensi, sebaliknya kekurangan ekosistem yang membolehkan teknologi diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan.

 

Misalnya, apabila internet menjadi perlahan setiap kali hujan, apabila talian terputus ketika perlu memuat naik produk e-dagang, dan apabila Pusat Internet Desa hanya berfungsi sebagai bangunan kosong tanpa fasilitator, pendigitalan yang diuar-uarkan akhirnya gagal menyentuh akar ekonomi desa.

 

Dasar yang baik tidak akan mengubah ekonomi jika pelaksanaan penerapan teknologi gagal menyelesaikan isu fundamental seperti kestabilan capaian, kebolehgunaan perkhidmatan dan kemampanan fasiliti teknologi di desa.

 

Selain itu, segelintir usahawan luar bandar masih kurang menyedari kepentingan teknologi digital akibat tahap pendidikan dan pendedahan yang terhad. Jurang ini akhirnya mewujudkan ketidaksamaan sosial antara masyarakat bandar dan desa.

 

Masyarakat bandar bergerak pantas dalam ekonomi digital, manakala masyarakat desa terus bergelut dengan cabaran asas.

 

Jurang Literasi Digital dan Risiko Peminggiran Sosial

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan peluang ekonomi, malah boleh memberi kesan terhadap kehidupan sosial komuniti desa.

 

Mereka yang tidak berpeluang menguasai teknologi berisiko terpinggir daripada arus pembangunan negara. Isu literasi digital yang masih berada pada tahap membimbangkan menyebabkan masyarakat desa hari ini mungkin memiliki telefon pintar dan peranti moden lain, namun pemilikan tidak sama dengan penguasaan.

 

Generasi muda yang dianggap “celik digital” sebenarnya lebih bersifat celik hiburan, kerana mereka mahir dalam permainan digital, media sosial dan fungsi asas, tetapi tidak terlatih untuk mengasah kemahiran digital bercorak ekonomi seperti pemasaran dalam talian, pengurusan data, penjenamaan digital, automasi atau analitik.

 

Usahawan desa yang telah lama menceburi sektor ekonomi luar bandar pula sering memandang teknologi sebagai beban kos, bukannya pelaburan strategik, disebabkan kurang keyakinan, kekangan pendidikan dan ketiadaan latihan berterusan yang berkualiti.

 

Latihan Sekali Lalu dan Kegagalan Sokongan Jangka Panjang

Program latihan digital anjuran kerajaan kebanyakannya bersifat sekali lalu, tanpa sistem sokongan jangka panjang.

 

Apabila tiada bimbingan pasca-latihan, tiada pemantauan, tiada komuniti pembelajaran digital dan tiada tokoh tempatan yang berperanan sebagai mentor, majoriti peserta akhirnya kembali kepada kaedah lama.

 

Akibatnya, hanya sekitar 5 hingga 10 peratus usahawan desa yang benar-benar meneruskan penggunaan platform digital dalam perniagaan mereka, manakala selebihnya kekal dalam perniagaan tradisional yang sukar berkembang.

 

Ketika bandar bergerak maju dengan kemodenan seperti fintech, automasi, kecerdasan buatan dan inovasi industri, desa masih bergelut untuk melaksanakan transformasi ekonomi.

 

Keadaan ini bukan sahaja mengekalkan desa dalam “kelas ekonomi rendah”, malah mula membentuk “kelas digital bawahan” apabila komuniti luar bandar bukan sekadar tertinggal, tetapi semakin tercicir daripada peluang pasaran moden.

 

Paradoks Ekonomi Digital dan Potensi Modal Sosial Desa

Tanpa literasi digital yang kukuh, teknologi hanyalah objek, bukannya alat pembangunan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang seimbang antara desa dan bandar. Keadaan ini seolah-olah teknologi berada di tangan, tetapi tidak berfungsi dalam kehidupan seharian.

 

Ketempangan pelaksanaan ini akhirnya mewujudkan paradoks ekonomi digital, iaitu dasar semakin canggih, tetapi hasil semakin perlahan.

 

Desa sebenarnya memiliki modal sosial yang kuat seperti jaringan komuniti yang rapat, kepercayaan bersama dan budaya kerjasama, yang sepatutnya memudahkan adaptasi teknologi. Namun kekuatan ini tidak dimanfaatkan melalui model pelaksanaan yang sistematik.

 

Pusat internet seharusnya dijadikan hab latihan berterusan, bukan sekadar projek perasmian.

 

Memperkasa Desa sebagai Rakan Strategik Ekonomi Digital

Bagi memastikan masyarakat desa tidak ketinggalan, tiga perkara utama perlu diberi tumpuan, iaitu meningkatkan literasi digital, memperkukuh infrastruktur teknologi dan memanfaatkan modal sosial komuniti sebagai kekuatan.

 

Apabila penduduk desa mendapat latihan, peralatan dan peluang yang setara, barulah ekonomi digital dapat dinikmati secara inklusif oleh semua.

 

Pemimpin muda yang mahir digital wajar dilantik sebagai “penggerak teknologi desa”, bukan sekadar bergantung kepada pegawai luar, bagi mengelakkan kebergantungan berlebihan terhadap institusi.

 

Negara sedang bergerak maju, namun untuk maju bersama, masyarakat desa perlu diperkasa agar mereka bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi juga peneraju dalam pembangunan digital masa depan.

 

Pengusaha kecil wajar dibimbing secara berfokus melalui model inkubator mikro desa yang menyediakan latihan fotografi produk, perundingan pemasaran, sokongan logistik dan akses digital yang stabil.

 

Selagi pendigitalan desa tidak disertai peningkatan kapasiti manusia, selagi projek digital mengalami kelemahan dari segi fungsi dan keberkesanan, serta selagi infrastruktur tidak mencapai tahap yang mampu mendorong transformasi ekonomi bernilai tambah, Malaysia akan terus membangunkan ekonomi digital yang berfungsi di bandar tetapi gagal mengangkat desa sebagai rakan strategik ke arah pembangunan ekonomi yang lestari dan seimbang.

 

Realiti yang perlu diterima ialah desa bukan gagal untuk berubah, sebaliknya kegagalan sistem yang sepatutnya menyokong perubahan telah membantutkan perkembangan teknologi, khususnya dalam membina ekonomi desa yang maju.

 

Masa depan ekonomi digital Malaysia bergantung pada keupayaan negara membina ekosistem digital desa yang benar-benar berfungsi, bukan sekadar melaporkan peratusan liputan internet, tetapi memastikan setiap isi rumah desa mampu mengubah teknologi menjadi peluang ekonomi yang nyata. - DagangNews.com

 

Khaulah Azwar Syahar Alam dan Velan Kunjuraman dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia