Dalam ledakan ekonomi digital di Malaysia, gig ekonomi telah dinobatkan sebagai fenomena transformatif yang mengubah landskap pekerjaan tradisional secara radikal.
Menurut kajian Khazanah Research Institute, hampir 26% tenaga kerja Malaysia kini terlibat dalam pekerjaan gig. Angka ini dijangka meningkat sebanyak 40% pada pertengahan 2025.
Fenomena ini bukan sahaja memberi impak kepada perubahan pola pekerjaan malah melahirkan generasi usahawan baru yang kemudiannya mengubah paradigma keusahawanan konvensional.
Antara teras utama dalam pemilihan pekerjaan gig adalah fleksibiliti masa bekerja. Pemilihan skop bidang ini telah mencipta ekosistem pembelajaran unik bagi usahawan baru.

Mahu bebas, kerja bebas
Individu lebih cenderung memilih pekerjaan berlandaskan konsep gig kerana tidak mahu terkongkong dengan waktu pejabat yang berstruktur tetap. Justeru, pemilihan pekerjaan dalam konteks yang bebas membolehkan golongan individu ini bebas menguruskan masa mengikut kesesuaian.
Kegiatan ini amat sesuai terutama bagi golongan individu yang terikat dengan komitment peribadi mahupun yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat yang tinggi. Kebebasan ini juga mampu membuka peluang kepada mereka untuk meneroka bidang lain sambil menjana pendapatan.
Secara tidak langsung, kegiatan ini dapat mengasah kemahiran mengurus masa dan kewangan mereka yang juga merupakan asas penting dalam keusahawanan.
Dari perspektif pendidikan keusahawanan yang komprehensif, pengalaman hands-on dalam gig ekonomi memberi pendedahan awal tentang dunia perniagaan. Kajian yang dilaksanakan oleh sekumpulan penyelidik dari universiti tempatan di Malaysia khususnya mendapati sebanyak 78% usahawan bermula sebagai pekerja gig.
Golongan ini mula menimba ilmu dalam konsep asas keusahawanan melalui pengurusan kewangan di mana pengurusan dalam pelbagai aspek dilakukan secara organik melalui pengalaman seharian.
Dalam konteks yang lain, gig ekonomi dianggap telah berjaya menggalakkan pemikiran yang kreatif dan inovatif dalam membuat keputusan yang lebih radikal.
Sebagai contoh, sekumpulan penghantar makanan di Pulau Pinang telah membangunkan sistem perkongsian motosikal elektrik untuk menjimatkan kos operasi.
Manakala di Johor Bahru, bekas pemandu e-hailing telah berjaya mencipta aplikasi khas untuk mengoptimumkan laluan penghantaran. Inovasi yang mampat dan efisen seumpama ini menunjukkan bahawa gig ekonomi berfungsi sebagai katalis kreativiti keusahawanan.
Batu loncatan jadi usahawan
Dalam erti kata lain, kegiatan ini merupakan batu loncatan ke arah menceburkan diri dalam dunia keusahawanan yang lebih luas. Justeru, golongan individu yang berjaya mengaut pengalaman dan jaringan dalam bidang usahawan ini juga akan lebih bersedia untuk melangkah ke peringkat yang lebih mencabar.
Walaubagaimanapun, cabaran dalam gig ekonomi tidak boleg diabaikan. Kajian mendapati sebanyak 65% pekerja gig menghadapi kesukaran mengurus aliran tunai tidak tetap.
Kekangan seperti tiada perlindungan insurans, akses yang terhad kepada pembiayaan dan tekanan persaingan sering menjadi penghalang besar.
Untuk mengatasi permasalahan ini, segelintir besar usahawan yang dilahirkan melalui gig mengamalkan strategi "3T" - Tabungan (minimum 20% pendapatan), Teknologi (menggunakan aplikasi kewangan digital) dan Transformasi (sentiasa menambah nilai perkhidmatan).
Permasalahan ini juga telah dipandang serius oleh pihak kerajaan pusat. Pelbagai program khas telah diwujudkan untuk membantu para usahawan gig. Antaranya, dengan memperkenalkan Program Usahawan Gig yang bertujuan untuk memperkasakan kemahiran dalam bidang teknologi digital.
Revolusi yang dibangunkan ini telah mencipta model keusahawanan yang lebih resilien dan adaptif. Usahawan gig dikatakan telah berjaya menguasai kepelbagaian bidang.
Antaranya adalah kemahiran digital native di mana sebahagian besar dari golongan ini telah didedahkan kepada teknologi digital seperti perisian computer, internet, telefon pintar dan media sosial.
Namun, initiatif untuk memaksimumkan potensi transformasi ini memerlukan dasar reformasi yang komprehensif. Antaranya ialah dengan merombak sistem perlindungan sosial terhadap pekerja gig seperti kemudahan insurans dan simpanan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau lebih dikenalai sebagai KWSP.
Skim Pembiayaan Khusus
Selain itu, skim pembiayaan khusus perlu diperluaskan untuk memberi perlindungan sosial jangka panjang kepada usahawan gig dengan mengadaptasikan kaedah pengurangan ketidaksamaan ekonomi.
Dalam pada itu, pendidikan keusahawanan perlu diintegrasikan supaya usahawan gig mampu membentuk kerjaya berstruktur dan menguasai pelbagai kemahiran termasuk pengurusan kewangan, penjenamaan dan pengurusan pelanggan supaya lebih sistematik.
Dengan pelaksanaan initiatif ini, revolusi gig ekonomi tidak sekadar memberi peluang pekerjaan untuk menampung kehidupan seharian dan seterusnya melahirkan generasi usahawan baru yang mampu mendorong pertumbuhan ekonomi negara.
Kesimpulannya, penglibatan usahawan gig memberi impak yang besar bukan sahaja dalam konteks perubahan cara bekerja malah mampu melahirkan semula budaya keusahawanan yang kreatif dan innovative di Malaysia.
Kini gig ekonomi telah menjadi jambatan penting yang menghubungkan pekerjaan sara hidup dengan impian keusahawanan.
Seperti yang dibuktikan oleh ratusan kisah kejayaan di seluruh negara, dengan ketekunan, kreativiti dan bimbingan, pekerja gig berpotensi menjadi usahawan yang berdaya mampan. - DagangNews.com








