Ramadan 2010, saya menjejakkan kaki ke Gaza—sebuah tanah yang sering disebut dalam khutbah dan doa, tapi hakikatnya takkan dapat diselami tanpa memijak debunya, menatap wajah-wajah lukanya, dan mendengar rintihan yang bergema dari runtuhan duka.
Saya ke sana bukan sebagai pemimpin atau tokoh besar, bukan juga sebagai petugas kemanusiaan sepenuh masa, tetapi sebagai seorang Muslim, sebagai warga dunia, sebagai insan yang ingin menyaksikan dengan mata dan hati sendiri apa yang terjadi kepada saudara-saudara kita di sana.
Saya berada di Gaza selama dua minggu yang menjadi antara detik paling menggoncang jiwa sepanjang hayat saya sebagai warga emas.
Hari pertama saya di sana, saya memilih untuk ke Hospital Kanak-Kanak di Gaza City. Tidak jauh dari hotel tempat saya menginap, hospital itu kelihatan tersusun, namun masih berdiri—walaupun banyak bangunan lain sudah menjadi abu.
Suara tangisan dan keluhan memenuhi udara. Di setiap sudut hospital itu, saya temui luka yang bukan sekadar pada tubuh, tetapi yang merobek jiwa dan nurani.

Saya melangkah masuk dengan dada sesak dan langkah berat. Kanak-kanak yang terdampar di katil-katil sempit, ada yang tanpa anggota, ada yang separuh tubuhnya berbalut dan berdarah kering, ada pula yang menatap kosong ke siling seolah-olah roh mereka telah lama pergi walau jasad masih ada.
Saya melihat trauma dalam bentuk yang paling tulen—mata kanak-kanak yang tak berkelip, tangan kecil yang menggenggam baju koyak, tubuh kecil yang menggigil bukan kerana sejuk, tetapi ketakutan yang tak berpenghujung.
Saya menangis. Saya tidak malu menangis di hadapan mereka. Tangisan saya adalah kerana saya insan, dan hanya yang tidak berhati sahaja mampu menyaksikan semua itu tanpa rebah emosi. Saya menangis kerana saya bersyukur—bersyukur dilahirkan sebagai seorang Islam di bumi Malaysia yang aman, walau saya bukan seratus peratus Melayu, keturunan saya bercampur.
Tetapi saya tidak pernah melihat anak-anak kecil ditimbus runtuhan rumah, tidak pernah melihat bayi mati kerana tiada susu, tidak pernah mendengar helikopter melepaskan peluru berpandu waktu sahur.
Satu bilik menyambut saya dengan sunyi yang menggeletar. Ia bilik kanak-kanak koma. Saya masuk dengan perlahan, hati saya sudah lama rebah. Di sudut kanan, seorang budak perempuan berusia kira-kira sepuluh tahun, terbaring kaku.
Tubuhnya kecil, matanya tertutup rapat, dan pelbagai wayar terpasang di tubuhnya. Dia kelihatan seperti sedang tidur lena, tetapi doktor memberitahu dia dalam koma sejak enam bulan lalu selepas serangan udara mengenai rumah keluarganya.
Saya duduk di sisinya. Tanpa kata, hanya air mata dan zikir yang mengalir perlahan. Tiba-tiba, dalam kelam pilu itu, dia tersenyum. Ya, dia tersenyum. Mata masih tertutup, tubuh masih kaku, tetapi bibirnya terukir satu senyuman halus—senyuman yang membuat saya terhenti nafas sesaat.
Saya segera memanggil jururawat. Mereka datang bergegas dan turut terkejut. Mana mungkin kanak-kanak koma boleh tersenyum? Jururawat itu menjadi cemas. Saya pula menangis sekuat hati, tidak lagi peduli.
Bagi saya, senyuman itu adalah hadiah—mungkin terakhir—daripada roh yang sedang menunggu dijemput Tuhan. Senyuman itu untuk saya, seorang yang hadir dari jauh, bukan untuk menyelamatkan, tetapi untuk menyaksi dan mengingat.
Selepas beberapa minit, senyuman itu hilang. Wajahnya kembali tenang, koma kembali memeluknya seperti kabus pekat yang enggan berundur. Saya menangis dan terus menangis, mendoakan agar anak kecil itu syahid, agar dia bebas dari dunia yang terlalu zalim untuk jasad semuda itu.

Kini, pada tahun 2025, saya mendengar laporan dari Gaza yang mengoyak semula luka lama. Hospital Kanak-Kanak itu telah pun musnah. Hospital OKU yang sempat saya lawati ketika di sana juga telah menjadi serpihan. Tiada lagi tempat untuk anak-anak mencari perlindungan. Tiada lagi katil yang menadah tubuh lemah mereka. Tiada lagi dinding untuk menghalang bom. Yang ada hanya tanah dan darah. Dan genosid yang berterusan.
Menurut kenyataan UNICEF baru-baru ini, angka kanak-kanak yang meninggal akibat kekurangan zat di Gaza semakin meningkat pada kadar yang sangat membimbangkan. Sekurang-kurangnya 66 kanak-kanak telah mati kelaparan sejak perang terkini meletus.
Bukan kerana tiada ibu, bukan kerana enggan makan, tetapi kerana makanan, susu, dan bantuan kesihatan dihalang masuk oleh rejim Zionis yang melanggar semua nilai kemanusiaan.
Pejabat Media Kerajaan Gaza menyatakan bahawa pengepungan Israel yang makin ketat telah menghentikan kemasukan susu, makanan tambahan, dan bantuan kemanusiaan lain. Ketika kenyataan itu dikeluarkan, serangan Israel sedang giat dijalankan, membunuh sekurang-kurangnya 60 orang Palestin, termasuk 20 orang di kejiranan Tuffah di Gaza City.
UNICEF mencatatkan peningkatan hampir 50% dalam bilangan kanak-kanak yang dirawat kerana kekurangan zat sejak April, dan peningkatan 150% sejak Februari ketika gencatan senjata membenarkan bantuan masuk. Kini, semua pintu telah ditutup. Tiada belas kasihan, tiada rasa insaf dari mereka yang kononnya bertamadun.
Sebagai warga emas yang pernah memijak bumi Gaza, yang pernah melihat senyuman anak kecil dalam koma, saya tidak mampu lagi menahan luka batin ini. Saya tidak akan pernah melupakan wajah-wajah yang saya temui. Anak-anak yang tubuhnya hancur, ibu yang tidak mampu menyusukan bayi, ayah yang menangis dalam diam. Dan saya, hanya mampu menulis, menitiskan air mata dari jauh, memohon agar dunia membuka mata.
Gaza bukan hanya krisis politik atau perang sempadan. Gaza adalah luka dunia Islam. Dan yang paling teraniaya adalah mereka yang belum pun mengenal erti dosa, belum pun tahu apa itu kebebasan.
Saya tidak tahu apa yang terjadi kepada budak perempuan yang senyum itu. Mungkin dia telah lama kembali ke sisi Tuhannya. Mungkin senyumannya ketika koma adalah lambang kehadiran malaikat yang menunggu. Tetapi bagi saya, senyumannya adalah suara hati Gaza. Lembut, tenang, penuh harapan walau dalam kehancuran.
Hari ini, saya sudah warga emas. Strok telah melemahkan tubuh saya, saya tidak lagi mampu mengembara jauh dan menjadi OKU. Tetapi ingatan saya terhadap Gaza tidak pernah pudar. Saya akan terus menulis, bercerita kepada cucu-cicit saya bahawa saya pernah ke Gaza, dan saya pernah melihat cahaya dalam kelam. Saya ingin mereka tahu, bahawa dunia ini terlalu kejam untuk membiarkan anak-anak mati kelaparan, dan terlalu pengecut untuk menamakan penjenayah sebenar.
Semoga Allah mengampuni kita kerana terlalu diam. Semoga Gaza terus kuat—dengan doa, dengan air mata, dan dengan pena yang tidak akan berhenti menulis kebenaran. - DagangNews.com








