Transformasi Philip Morris International (PMI) ke arah masa depan bebas asap disokong oleh antara usaha penyelidikan sektor swasta yang paling meluas dalam industri tembakau dan nikotin.
Teras kepada usaha ini terletak di The Cube, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bertaraf dunia milik PMI di Neuchâtel, Switzerland, sebuah kemudahan yang kini menjadi tumpuan utama transformasi syarikat berteraskan sains, teknologi dan inovasi.
Sejak 2008, PMI telah melaburkan lebih AS$14 bilion dalam pembangunan serta penilaian saintifik produk bebas asap (SFP).
Komitmen jangka panjang ini bukan sahaja diterjemahkan melalui peruntukan kewangan yang besar, malah melalui skala output saintifik dan modal insan yang dikhususkan bagi tujuan tersebut.
Setakat 2024, sebanyak 99.5% daripada keseluruhan perbelanjaan R&D PMI tertumpu kepada produk bebas asap, sekali gus menggariskan kepentingan strategik pendekatan ini terhadap hala tuju masa depan syarikat.
The Cube yang dirasmikan pada 2009 bukan sekadar mercu tanda seni bina. Ia berfungsi sebagai nadi ekosistem saintifik global PMI.
ARTIKEL BAHAGIAN KEDUA: Daripada Rokok kepada Bebas Asap: Memahami Peralihan Besar PMI

Sepanjang lebih satu dekad setengah, ratusan saintis dan jurutera daripada pelbagai disiplin telah bekerjasama di pusat ini bagi membangunkan alternatif bebas asap serta menilai profil risikonya secara menyeluruh menggunakan metodologi saintifik yang mantap.
Hari ini, organisasi R&D PMI merangkumi kira-kira 1,460 saintis, jurutera, juruteknik dan kakitangan sokongan yang berkhidmat merentas pelbagai bidang saintifik.
Usaha mereka telah menghasilkan lebih 530 penerbitan berwasit dan bab buku berkaitan produk bebas asap, sekali gus menyumbang kepada wacana saintifik global mengenai pengurangan kemudaratan dan teknologi penyampaian nikotin alternatif.
Dalam tempoh yang sama, PMI telah memperoleh sekitar 4,250 paten di bidang kuasa IP5 bagi teknologi bebas asap sejak 2015, mencerminkan kedalaman dan keluasan inovasi yang lahir daripada platform penyelidikannya.

Terletak secara strategik di persisiran Tasik Neuchâtel, di antara Banjaran Alps dan pergunungan Jura, The Cube merupakan sebahagian daripada Kampus Neuchâtel PMI.
Kampus ini turut menempatkan Pusat Pembangunan Industri (IDC) yang khusus untuk menghasilkan dan menambah baik prototaip produk bebas asap, selain sebuah kilang dwi-fungsi yang mengeluarkan batang tembakau dipanaskan bagi produk bebas asap utama PMI serta produk konvensional.
Tapak Neuchâtel itu sendiri sarat dengan nilai sejarah industri. Produk tembakau mula dihasilkan di lokasi tersebut pada 1925 oleh Fabriques de Tabac Réunies SA.
Kehadiran PMI bermula pada awal 1960-an apabila syarikat itu mengambil alih tapak berkenaan dan menubuhkan anak syarikat pertamanya di Eropah.
Dalam dekad-dekad berikutnya, PMI terus melabur secara konsisten di Neuchâtel, yang akhirnya membawa kepada reka bentuk dan pembinaan The Cube antara 2005 hingga 2008, sebelum dirasmikan pada 2009 bersama-sama IDC.
Kesinambungan sejarah ini mencerminkan evolusi visi PMI. Jika suatu ketika dahulu tapak ini melambangkan pembuatan tembakau tradisional, kini ia menjadi simbol aspirasi syarikat untuk menggantikan rokok konvensional dengan alternatif yang kurang memudaratkan bagi perokok dewasa yang sebaliknya akan terus merokok.

Sejak penubuhannya, The Cube berperanan sebagai wadah utama bagi pembangunan, pengujian dan pengesahan saintifik produk bebas asap, sekali gus memposisikannya sebagai ibu pejabat rangkaian pusat penyelidikan global PMI.
Ketika PMI mempercepatkan transformasinya, The Cube tampil sebagai manifestasi nyata bagaimana sains, teknologi dan pelaburan berterusan digembleng untuk mentakrifkan semula masa depan syarikat.
Dalam naratif PMI, perjalanan ke arah dunia bebas asap bukan sekadar retorik aspirasi, sebaliknya suatu usaha berpaksikan penyelidikan yang berakar pada makmal, data dan komitmen inovasi yang dibina selama beberapa dekad. - DagangNews.com
NOTA PENGARANG:
Penulis mengunjungi The Cube pada awal bulan ini sempena lawatan kerja ke Switzerland. Dari dekat, jelas kelihatan bagaimana kemudahan ini direka bukan sekadar sebagai pusat penyelidikan konvensional, sebaliknya sebuah ekosistem saintifik bersepadu yang menggabungkan makmal berteknologi tinggi, ruang kolaborasi rentas disiplin serta budaya kerja yang menekankan ketelitian data dan integriti sains. Lawatan tersebut memberi gambaran nyata bahawa transformasi PMI ke arah bebas asap bukan sekadar kenyataan korporat, tetapi diterjemahkan melalui pelaburan fizikal, kepakaran saintifik dan proses penyelidikan yang tersusun serta berterusan.








