Catatan di Rak Buku tentang Nasib Sastera di Malaysia | Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Catatan di Rak Buku tentang Nasib Sastera di Malaysia | Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor

Dalam langkah yang perlahan namun penuh harap, saya melangkah masuk ke sebuah kedai buku terkenal di sebuah bandar raya di Pantai Timur. Ruang dalamnya sejuk berpendingin, harum bau kertas baharu dan dakwat cetakan — suatu aroma yang menghidupkan kembali nostalgia zaman muda, ketika saya memburu naskhah demi naskhah dengan mata yang bercahaya dan jiwa yang menyala. 

 

Tetapi, ziarah kali ini membawa rasa yang ganjil. Saya menyisir rak demi rak, mencari sesuatu yang selama ini menjadi tunjang budaya bangsa: karya sastera — hasil nukilan sasterawan negara, penulis mapan, atau sekurang-kurangnya nama-nama yang pernah mengharumkan dunia persuratan Melayu. Namun, sunyi.

 

Apa yang memenuhi rak-rak itu ialah novel-novel popular, sesetengahnya setebal kitab klasik tetapi entah apa isi kandungannya. Wajah penulisnya asing bagi saya, namun terpampang megah angka-angka penjualan: “500,000 naskhah terjual!”, “1 juta salinan!” — seolah-olah angka jualan adalah pengganti mutu. 

 

Saya teliti beberapa tajuk, mengulang bacaan di kulit hadapan dan belakang, cuba mencari makna, arah, atau sekadar denyut kecil bahasa sastera. Namun saya temui hampa.

 

“Tiada satu pun karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka?” bisik hati saya, antara kesal dan ingin tahu. Mungkinkah rak-rak ini sudah tidak mesra dengan dunia sastera? Adakah ini normal di Pantai Timur, tempat yang saya kira masih erat dengan warisan budaya dan seni halus? Atau, mungkinkah ini lambang kelesuan zaman terhadap sastera yang pernah menjadi nyawa bangsa?

 

Saya duduk sejenak, mengenang zaman ketika karya agung seperti Salina, Interlok, Ranjau Sepanjang Jalan, dan Langit Petang menjadi santapan jiwa remaja dan dewasa. Kini, seolah-olah semua itu telah menjadi pusaka usang yang digantung dalam muzium ingatan, tetapi tidak lagi hidup dalam denyut nadi masyarakat. 

 

 

Salina

 

 

Dan yang lebih menyedihkan, seolah-olah tiada ruang buat kami — para penulis yang telah menyumbang, berkarya, membina tapak dan menabur benih — untuk berdiri di hadapan khalayak bangsa.

 

Saya terfikir: apakah kerajaan, dengan seorang perdana menteri yang dikatakan meminati sastera, tidak terfikir untuk menghidupkan kembali dunia persuratan kita dengan sebuah acara kebangsaan yang gah? Anwar Ibrahim memberikan jutaan wang ringgit untuk penerbitan buku sastera.

 

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menerbitkan karya sastera melalui projek penerbitan buku PENA-MALAYSIA MADANI dengan sebanyak 123 judul buah buku. Dengan merangkumi genre khususnya seperti sastera, buku umum serta buku bergambar kanak-kanak. Begitu juga DBP.

 

Projek penerbitan adalah sebahagian daripada perolehan Belanjawan 2024 dengan peruntukan RM2.5 juta yang diberikan kepada PENA bertujuan memajukan industri kreatif terutama bidang penulisan. 

 

Mengapa tidak dianjurkan dengan peruntukan kerajaan satu Hari Sastera Malaysia atau dengan nama lebih gah yang diraikan saban tahun, tempat semua penulis dari pelbagai genre dan latar dapat berhimpun, bertukar ilham, dan memperkenalkan karya masing-masing kepada khalayak umum?

 

GAPENA, PENA, DBP, serta ITBM dan penerbit sastera — semua ini institusi yang sudah sekian lama menjadi tiang seri kepada dunia sastera tanah air. Mereka harus berganding bahu, merancang dan melaksanakan sebuah perhimpunan besar-besaran, bukan sekadar untuk meraikan sastera, tetapi untuk menghidupkannya semula dalam kalangan masyarakat, dari yang muda hingga ke warga emas seperti saya.

 

Bayangkan jika Hari Sastera Malaysia diadakan selama dua atau tiga hari — penuh dengan kegiatan yang bermanfaat, dengan ruang pameran buku, jualan naskhah terpilih, sesi pertukaran karya, dan wacana santai bersama penulis pelbagai bidang: sasterawan, novelis, cerpenis, penyair, penulis skrip drama, penulis akademik, penulis agama, penulis politik, wartawan, editor, wakil penerbit, bahkan kartunis. Semua tanpa dinding pemisah, tanpa kasta atau darjat, sekadar berkumpul dalam semangat cinta kepada tulisan dan bahasa.

 

Biarlah disusuli dengan sesi forum yang lebih mesra, tempat para penulis dari pelbagai generasi berkongsi kisah, idea, keresahan, dan impian. Bukan untuk mengadakan pembentangan kertas kerja secara formal, Bahkan, para editor dari akhbar dan majalah serta wakil penerbit boleh dijemput, agar hubungan antara penulis dan penerbit menjadi lebih mesra dan terbuka.

 

 

Gapena

 

 

Kita tidak perlu pun menunggu bajet besar kerajaan semata-mata. Dengan penggunaan media sosial, promosi boleh dibuat secara meluas. Kaedah digital hari ini membolehkan penyertaan dijemput menerusi emel, disusuli panggilan telefon.

 

Namun saya percaya, surat rasmi yang dicetak dan dihantar tetap mempunyai keindahan tersendiri — ia menyentuh hati, memberi nilai hormat yang tak terganti oleh notifikasi ringkas di skrin telefon.

 

Pelajar universiti, politeknik, kolej komuniti, institut perguruan — semuanya boleh diajak bersama karyawan. Acara sebegini boleh menjadi platform mendidik semula generasi muda tentang pentingnya seni sastera dan budaya bangsa. 

 

Malah, ini dapat membuka ruang dialog tentang dasar pendidikan negara kita yang kini lebih tertumpu kepada peperiksaan semata-mata, lalu seni dan sastera semakin tergelincir daripada arus perdana dengan pelbagai jurusan seperti TVET, sains dan metematik. Itu belum masuk pengajian tahfiz yang sedang berkembang di pelusuk negara.

 

Bukankah kita sendiri dapat melihat, anugerah yang menghargai bakat dalam dunia hiburan jauh lebih lumayan berbanding bidang penulisan? Hadiah untuk juara program realiti di televisyen mencecah ratusan ribu ringgit, manakala ganjaran untuk penulis — termasuk Sasterawan Negara sendiri — jauh lebih kecil nilainya, walaupun besar maknanya. Inilah ironi zaman.

 

Lebih aneh lagi apabila negara ini sudah pun mempunyai 15 orang Sasterawan Negara. Mereka ini sepatutnya dianggap tokoh negara setaraf dengan tokoh guru, tokoh sukan, tokoh agama, dan tokoh budaya. Tetapi jika majlis penganugerahan Sasterawan Negara pun dilangsungkan dengan sepi dan kurang liputan, apatah lagi program sastera di peringkat negeri atau daerah. Seolah-olah dunia penulisan hanyalah pinggiran yang tidak perlu diberi tumpuan, apatah lagi sanjungan.

 

Sebagai warga emas, saya tidak kecewa untuk diri saya sendiri apalagi tanpa berita seperti maklumat yang diterbitkan melalui Jendela DBP. Saya telah melalui zaman kegemilangan tulisan, telah melihat karya saya diterbitkan dan dibaca, dan saya telah menerima pujian dan kritikan dengan dada yang lapang. 

 

Tetapi saya kecewa untuk generasi akan datang. Jika ruang untuk sastera terus dipinggir, dan jika tiada usaha untuk menyemai semula benih cinta kepada bahasa dan tulisan yang bermutu, apakah yang akan tinggal buat anak cucu kita kelak?

 

Apakah mereka hanya akan membaca kisah cinta picisan dan fantasi luar realiti, yang terjual kerana promosi dan pengaruh media sosial semata-mata, tanpa nilai sastera yang mendalam?

 

 

parafrasa
Penulis bersama Shahnon Ahmad, penulis buku SHIT 

 

parafrasa
Bersama Dato Dr Anwar Ridhwan dan Prof Dato Dr Hashim di Festival Penyair dari 25 negara


 

Saya percaya, bangsa yang besar tidak lahir daripada sekadar angka jualan buku atau populariti dalam talian. Bangsa yang besar lahir daripada pemikiran yang tinggi, bahasa yang indah, dan jiwa yang halus. Dan semua itu, hanya dapat dijelmakan melalui sastera.

 

Hari ini, saya pulang dari kedai buku itu dengan hati yang resah tetapi jiwa yang tetap teguh. Saya percaya, dunia sastera belum mati. Ia mungkin sedang tidur, mungkin sedang menanti musim baharu untuk bangkit kembali. Tetapi untuk itu, kita — para penulis, pembaca, penerbit, dan pemimpin — harus bersatu menghidupkannya semula.

 

Dan mungkin, permulaannya adalah Hari Sastera Malaysia atau hari seumpama yang kita impikan bersama. Sebuah hari untuk kembali memuliakan kata, menyanjung pena, dan menyuburkan jiwa bangsa.

 

Adakah itu satu mimpi? Atau satu harapan yang belum ditunaikan? Saya memilih untuk terus menulis — selagi nyawa di tubuh dan selagi tinta masih mengalir dalam urat nadi ingatan.

 

Mungkin sudah tiba masanya untuk suatu gerakan besar—suatu usaha kolektif menghidupkan kembali dunia sastera kita. Hari Sastera Malaysia hanyalah satu permulaan. Kita memerlukan komitmen daripada kerajaan, penerbit, media, dan masyarakat untuk menjadikan sastera sebagai nadi budaya bangsa.

 

Saya, sebagai warga emas dengan OKU yang telah melihat zaman berubah, hanya mampu berharap: Jangan biarkan sastera mati. Kerana jika sastera hilang, hilanglah sebahagian identiti kita. - DagangNews.com

 

Mohd Fudzail Mohd Nor merupakan penulis bebas setelah pencen, pemenang 5 Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan 40 Hadiah Sastera lain, masih aktif menulis 44 buah buku dan 30 e-buku e-sentral.com termasuk DagangNews.com