Malaysia sekali lagi melangkah ke hadapan dalam arena serantau apabila menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung pada 26 dan 27 Mei 2025 di Kuala Lumpur. Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia mengetuai perbincangan yang bukan sahaja menyentuh soal ekonomi, tetapi juga mencorakkan masa depan geopolitik rantau ini sehingga 2045.
Namun, di sebalik senyuman diplomatik dan sidang media yang penuh kata-kata manis, persoalan besar yang terus menghantui ASEAN kekal: adakah kita benar-benar bergerak ke hadapan atau sekadar berputar dalam retorik yang selesa?
Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita yang dilancarkan semasa sidang ini digambarkan sebagai pelan jangka panjang untuk membina komuniti serantau yang berpaksikan rakyat, mampan dan terbuka.
Ia menyentuh pelbagai bidang terutamanya daripada ekonomi hijau hingga kepada transformasi digital. Tetapi apakah ini benar-benar peta jalan atau hanya satu lagi manifesto indah yang ditandatangani untuk kelihatan bersatu?

Dalam ucapannya, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru perpaduan dan daya tahan. Namun, ramai pula yang mula bertanya: perpaduan terhadap apa, dan daya tahan terhadap siapa?
Salah satu pengumuman terbesar ialah pelan bagi lima tahun ASEAN untuk menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2045. Pelan ini menggabungkan integrasi ekonomi, pembayaran digital dan pelan mobiliti pekerja serantau.
Namun dengan realiti bahawa ketaksamarataan, ketelusan yang rendah dan perbezaan regulasi antara negara anggota masih ketara, adakah ini cita-cita kolektif, atau hanya impian segelintir elit?
Sistem ASEAN QR Payment Linkage memang menjanjikan kemudahan merentas sempadan, namun sejauh mana ia mampu diakses oleh golongan B40 atau usahawan mikro yang masih bergelut dengan capaian internet asas?
Tambahan pula, ASEAN turut mencipta sejarah apabila menganjurkan sidang tiga hala bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China. Kerjasama ini sememangnya memperkukuh posisi geopolitik rantau ini. Namun begitu, dalam era persaingan kuasa besar yang semakin sengit, mampukah ASEAN mengekalkan kenetralannya atau akan menjadi medan pertembungan pengaruh antara blok?
Dalam masa yang sama, ASEAN juga berdepan krisis moral yang besar iaitu Myanmar. Sejak rampasan kuasa 2021, penderitaan rakyatnya telah menjadi luka terbuka kepada kesatuan ini. Malaysia mencadangkan pelantikan utusan khas dan menyokong pelan lima perkara. Namun persoalannya: berapa banyak lagi sidang diperlukan untuk berkata “cukup sudah”?
Seterusnya, ASEAN harus lebih berani menamakan pelaku penindasan, bukan sekadar menyeru damai dalam bahasa yang terlalu berhati-hati. Kalau ASEAN tidak mampu melindungi rakyatnya sendiri, apakah makna kewujudannya?
Dari sudut lain, penekanan terhadap penglibatan belia dan pembangunan modal insan adalah langkah yang dialu-alukan. Menurut Khazanah Research Institute, hanya sekitar 30% tenaga kerja Malaysia tergolong dalam kategori berkemahiran tinggi. Jika kita benar-benar mahu menjadi pemacu ekonomi digital serantau, kenapa sistem pendidikan dan latihan kita masih gagal menyepadukan realiti pasaran dengan kemahiran sebenar?
Program seperti ASEAN University Network, Mutual Recognition Arrangements (MRAs) dan TVET Council hanya akan bermakna jika negara anggota komited terhadap standard bersama, bukan sekadar menandatangani MoU yang tidak bermakna. Komitmen politik mesti disusuli tindakan dasar yang jelas dan konsisten.
Malaysia memang menunjukkan komitmen dalam kesalinghubungan menerusi projek seperti ECRL, JENDELA dan IMT-GT. Di sebalik mega projek ini, masih ada pelajar luar bandar yang perlu memanjat pokok untuk internet, dan PKS yang tersekat kerana kurangnya sokongan logistik. Jika kita serius tentang kesalinghubungan serantau, maka akses mesti bersifat menyeluruh dan bukan hanya kepada pelabur asing atau hab industri.

Lebih jauh dari itu, ekonomi ASEAN tidak boleh hanya dilihat dari aspek angka dan projek semata-mata. Ia perlu dilihat dari sudut hak asasi manusia, kelestarian budaya, dan keupayaan menangani krisis kesihatan dan iklim yang semakin mengancam. Jika aspek ini tidak diarusperdanakan, ASEAN akan terus kelihatan seperti sebuah entiti teknokrat yang jauh dari denyut nadi rakyat.
Di samping itu, isu pekerja migran masih belum mendapat perhatian sewajarnya. Negara-negara anggota sering gagal mewujudkan dasar bersama yang melindungi hak pekerja lintas sempadan. Ini mencerminkan jurang antara aspirasi di atas kertas dengan realiti yang menyakitkan di lapangan. Di mana suara ASEAN ketika ribuan pekerja migran diperlakukan tanpa hak dan maruah?
Dalam konteks pendidikan pula, ASEAN tidak akan menjadi kuasa ekonomi keempat dunia sekiranya jurang kualiti pendidikan antara negara anggota terlalu ketara. Jika kita bercakap soal masa depan digital, infrastruktur pendidikan dan literasi teknologi mesti menjadi keutamaan bersama dan bukan sekadar agenda nasional.
Akhir sekali, dalam membincangkan masa depan ASEAN, kita juga tidak boleh menafikan kepentingan demokrasi dan suara rakyat. ASEAN perlu lebih bersedia untuk membuka ruang kepada masyarakat sivil, badan bukan kerajaan dan golongan muda untuk menyuarakan pendapat mereka dalam proses pembuatan dasar. Tanpa keterlibatan rakyat secara langsung, ASEAN akan terus menjadi forum elit yang jauh dari aspirasi sebenar rakyat serantau.
ASEAN 2025 telah memperlihatkan sisi terbaik Malaysia dari segi diplomasi dan perancangan. Tetapi untuk benar-benar memimpin rantau ini ke arah masa depan yang inklusif dan bermakna, kita perlu lebih daripada hanya sidang, deklarasi dan kerjasama simbolik.
Malaysia perlu menjadi suara yang lantang dalam menuntut tindakan nyata, bukan sekadar menyesuaikan diri dalam konsensus. Masa depan ASEAN tidak boleh terus diserahkan kepada sidang elit dan kata sepakat yang kabur. Ia perlu dipandu oleh keberanian menyatakan kebenaran. Dan keberanian itu, mesti bermula sekarang.
Sebagai contoh yang paling hampir, rakyat Malaysia kini berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi, kadar inflasi makanan yang membebankan serta kadar gaji yang tidak seiring dengan peningkatan produktiviti.
Dalam hal ini, peranan ASEAN dalam memastikan keterjaminan rantaian bekalan serantau serta kestabilan ekonomi makro amatlah kritikal. Namun, adakah rakyat benar-benar merasai manfaat daripada kerjasama serantau ini atau ia sekadar kekal sebagai naratif di peringkat dasar? Ini menuntut penilaian semula keberkesanan komunikasi dasar kepada rakyat, agar ASEAN tidak lagi menjadi 'abstrak diplomatik' yang jauh dari kehidupan seharian masyarakat.
Tambahan lagi, pendekatan Malaysia dalam memperkasakan transformasi digital perlu dilihat dalam kerangka ASEAN. Pelaksanaan JENDELA dan 5G perlu bukan sahaja menumpukan capaian tetapi juga keadilan digital (digital equity) supaya masyarakat luar bandar, pelajar dan komuniti rentan tidak terus ketinggalan dalam ekonomi digital ASEAN.
Tanpa strategi yang lebih menyeluruh dan inklusif, impian ASEAN menjadi ekonomi digital utama hanya akan tinggal slogan.

Kesimpulannya, ASEAN 2025 dan visi 2045 tidak boleh hanya dijadikan medan retorik tanpa komitmen tulen. Malaysia kini berada pada posisi strategik yang bukan sekadar sebagai pengerusi bergilir, tetapi sebagai pemacu suara perubahan.
Cabaran sebenar ialah bagaimana kita menjadikan ASEAN lebih dekat dengan rakyatnya, lebih berani dalam pendiriannya, dan lebih terbuka dalam pelaksanaannya. Hanya dengan keberanian politik dan keterbukaan masyarakat sivil, masa depan ASEAN boleh dijamin sebagai milik bersama.
Jika tidak, kita hanya akan terus bertepuk tangan dalam bilik sidang sementara rakyat menunggu perubahan yang tidak kunjung tiba. - DagangNews.com








