PAC ambil maklum langkah penambahbaikan tadbir urus korporat UiTM Holdings | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PAC ambil maklum langkah penambahbaikan tadbir urus korporat UiTM Holdings

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Julai - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengambil maklum usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memastikan pengurusan aktiviti UiTM Holdings (UHSB) diuruskan dengan teratur, cekap dan mengikut tadbir urus korporat yang baik.

 

Menurut UHSB, dalam hal ini, PAC menyedari langkah penambahbaikan yang diambil oleh KPT dan UiTM untuk memastikan kawal selia anak syarikat agar dapat mencapai matlamat penubuhan dan menjana keuntungan. 


 
"Menurut kenyataan Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada 18 Mac 2024, matlamat utama yang berkaitan dengan menawarkan peluang pelaburan serta mengukuhkan kedudukan strategik perniagaan, belum tercapai susulan penilaian PAC berkaitan UHSB dan anak syarikatnya.

 

"PAC mencadangkan tindakan tertentu kepada UiTM dan KPT untuk menangani kebimbangan tersebut.

 

"Dalam hal ini, PAC menyedari langkah penambahbaikan yang diambil oleh KPT dan UiTM untuk memastikan kawal selia anak syarikat agar dapat mencapai matlamat penubuhan dan menjana keuntungan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Kata UiTM Holdings, pembentukan dan penguatkuasaan Garis Panduan Pelaburan dan Pembiayaan oleh Universiti Awam 2024 oleh KPT untuk diguna pakai semua Universiti Awam juga dilihat adalah baik.

 

uitm
Delegasi KPT, UiTM, dan UHSB menghadiri Pembentangan Laporan PAC di Parlimen.

 

"Dalam memastikan sistem tadbir urus yang lebih berkesan bagi UHSB dan anak syarikatnya; agar syarikat dapat menjana keuntungan dan dividen mengikut matlamat penubuhan, PAC telah dimaklumkan tentang langkah-langkah penambahbaikan governans yang diambil oleh KPT dan UiTM. 

 

"PAC juga mengiktiraf dan mengambil maklum akan Pelan Hala Tuju Strategik Pembangunan 10-Tahun UHSB yang telah dibentangkan kepada jawatankuasa.

 

"Pihak UHSB mengucapkan terima kasih kepada pihak UiTM atas kerjasama mereka sepanjang proses ini dilaksanakan," jelasnya.

 

Jelas beliau, UHSB juga ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Audit Dalaman Kumpulan UHSB, bersama-sama dengan anak syarikat Kumpulan UHSB iaitu UiTM Energy & Facilities Sdn Bhd dan UiTM Private Specialist Centre yang bekerja keras dan menunjukkan komitmen luar biasa untuk menjayakan proses ini. 

 

"Kejayaan ini adalah usaha kolektif dan pencapaian yang diraih tahun ini adalah hasil daripaa usaha gigih yang tidak berbelah bahagi semua pihak yang terlibat.

 

"Orang ramai boleh melayari pautan www.parlimen.gov.my/pac, bagi mengetahui setiap tindakan susulan KPT, UiTM, dan UHSB serta ulasan PAC," ujar kenyataan itu. - DagangNews.com