ORIX Leasing beri impak positif kepada lebih 70,000 perniagaan terutama PKS di Malaysia | DagangNews Skip to main content

ORIX Leasing beri impak positif kepada lebih 70,000 perniagaan terutama PKS di Malaysia

Ketua Perniagaan Global Kumpulan ORIX Corporation, Yoshiaki Matsuoka (kiri) bersama Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar (dua dari kanan) dan Presiden ORIX Leasing Malaysia, Shin Hamada semasa sambutan ulang tahun ke-50 kumpulan itu, baru-baru ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - ORIX Leasing Malaysia Berhad, peneraju bidang penyewaan peralatan telah meninggalkan impak positif kepada lebih daripada 70,000 perniagaan Malaysia sejak penubuhannya pada 1973. 

 

Lebih 85% peniagaan kumpulan itu terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Pengerusi ORIX, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar berkata, kumpulan itu merupakan rakan kongsi utama yang menawarkan rumusan kewangan disesuaikan khas bagi memacu pertumbuhan dan memperkasakan PKS yang sering berhadapan kesukaran dalam mendapatkan pembiayaan daripada bank.

 

Beliau berkata, pihaknya menyediakan pelbagai perkhidmatan yang disesuaikan khas untuk mendukung pertumbuhan PKS inovatif supaya mereka berupaya meneroka bidang pertumbuhan baharu.

 

"ORIX merupakan antara institusi kewangan bukan bank pertama di Malaysia yang menawarkan kemudahan yang patuh syariah melalui perkhidmatan ‘i-Lease’, ‘i-Factoring’, dan ‘i-Rental’.

 

"Pada 2010, kami menyesuaikan khas skim pembiayaan untuk PKS Bumiputera yang membolehkan mereka menyediakan program penyewaan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

tunku
Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar

 

Pada hujung tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23), kumpulan itu berada dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan perniagaan (26%), pengangkutan & logistik (19%), pembuatan (18%), pembinaan (12%), dan perdagangan (10%).

 

Jumlah kesuluruhan aset operasi ORIX berada pada RM2.76 bilion pada akhir FY23, dan syarikat tersebut berhasrat untuk mencapai pertumbuhan peratusan dua digit pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024. 

 

Tunku Naquiyuddin berkata, sepanjang 50 tahun ini didalam idustri, mereka telah menyumbang terhadap pertumbuhan industri dengan penuh komitmen. 

 

Pihaknya bertekad untuk terus berusaha menjayakan misi kami dalam membentuk industri dan memajukan ekonomi. - DagangNews.com