Optimis dengan prospek Ancom Nylex,  AmInvestment naikkan nilai wajar kepada RM1.43 | DagangNews Skip to main content

Optimis dengan prospek Ancom Nylex,  AmInvestment naikkan nilai wajar kepada RM1.43

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Feb - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Ancom Nylex Bhd. dengan nilai wajar lebih tinggi pada RM1.43 sesaham. 

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatannya berikutan pengkomersialan dua reaktor berkaitan monosodium methanearsonate (MSMA) dan ketibaan sembilan reaktor untuk mengeluarkan bahan kimia pertanian aktif (AI) baharu dikenali sebagai Product T.

 

"Berdasarkan semakan kami dengan Ancom, sembilan reaktor baharu yang akan digunakan untuk menghasilkan AI baharu dengan jumlah kapasiti 1k MT/tahun telah tiba minggu lepas.

 

"AI baharu buat masa ini dikenali sebagai Product T. Kami menjangkakan reaktor ini akan dikomersialkan dalam pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Mei 2024 (FY24)," katanya dalam nota kajian semalam. 

 

Secara dasarnya, pemacu utama pendapatan kumpulan bagi FY24 hingga FY25 terletak pada pergerakan ke arah niche pasaran harga jualan purata (ASP) yang lebih tinggi dalam landskap kimia pertanian dengan mengkomersialkan Produk T dan S.

 

Produk T kini dijual pada AS$18 hingga AS$20 seliter dan Produk S pada AS$40 hingga AS$45 seliter berbanding produk sedia ada yang membawa ASP dalam satu digit rendah hingga pertengahan AS$/unit.

 

Menurut AmInvestment, ASP yang lebih tinggi membolehkan Ancom meningkat keuntungan yang lebih tinggi ekoran persaingan lebih rendah.

 

"Kami anggarkan Produk T akan menyumbang hasil kira-kira RM80 hingga RM85 juta pada FY24," jelasnya.

 

Dalam tempoh terdekat, firma itu menjangkakan Ancom akan terus mendapat manfaat daripada larangan paraquat terutama di Thailand dan Malaysia. 

 

"Untuk tempoh jangka sederhana hingga lebih panjang, pengenalan AI baharu akan terus menyokong trajektori menaik pendapatan kumpulan bagi FY23 hingga FY25," katanya. 

 

Setakat 12.24 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.81% kepada RM1.25 dengan 3.7 juta saham diniagakan. - DagangNews.com