KUALA LUMPUR 10 Feb - Perdagangan pengedaran di Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan kukuh tahun ini di sebalik lonjakan varian Omicron yang masih berterusan.
Kenanga Research mengunjurkan perdagangan borong dan runcit akan merekodkan pertumbuhan 2 digit sebanyak 15% memandangkan Omicron hanya memberi impak minimum kepada prestasi jualan runcit bagi 2022.
Katanya, ini kerana kerajaan tidak mungkin akan melaksanakan sekali lagi penguatkuasaan sekatan pergerakan seperti mana sebelum ini.
"Selain itu, kemungkinan pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia pada Mac ini dilihat dapat membantu memberi rangsangan kepada industri runcit di peringkat domestik.
"Oleh itu, pertumbuhan penggunaan swasta dijangka meningkat hampir 2 kali ganda kepada 6.4% pada 2022 sejajar dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini antara 5.5 hingga 6%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia yang dikeluarkan semalam menunjukkan perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan nilai jualan bulanan tertinggi berjumlah RM120.5 bilion pada Disember 2021, dengan jualan tahunan mencecah RM1.3 trilion tahun lalu.
Peningkatan 3.5% bagi perdagangan borong dan runcit pada Disember disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang mencatatkan pertumbuhan positif dengan peningkatan sebanyak RM3 bilion kepada RM48.5 bilion.
Perdagangan borong juga berkembang dengan 4.1% atau RM2.3 bilion kepada RM57.6 bilion. Dalam tempoh yang sama, kenderaan bermotor meningkat 1.5% atau RM200 juta kepada RM14.5 bilion.
Berbanding Disember 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19, perdagangan borong dan runcit meningkat 4.1%.
Sementara itu, MIDF Research mengunjurkan perdagangan runcit berkembang 5.5% pada 2022, disokong oleh kelonggaran terhadap sekatan, pembukaan semula ekonomi dan peningkatan progresif dalam data makroekonomi.
Jelasnya, peningkatan dalam data makroekonomi adalah secara berperingkat-peringkat untuk perbelanjaan pengguna yang kukuh pada suku keempat 2021 dan juga untuk 2022.
“Kami mengunjurkan penggunaan swasta berkembang sebanyak 6% pada 2022. Dengan merentas negeri dibenarkan, kami menjangkakan sektor perkhidmatan mendapat manfaat dan meningkat sebanyak 7.1% untuk 2022,” katanya.
Bagaimanapun, firma itu berkata, sempadan antarabangsa tidak akan dibuka sepenuhnya sehingga separuh pertama 2022 memandangkan Kementerian Kesihatan menjangkakan kes jangkitan harian akan meningkat kepada 22,000 kes menjelang akhir Mac.
"Tetapi, sekiranya, sempadan antarabangsa ini dibuka, ia akan memberi tambahan pemangkin kepada sektor perkhidmatan menerusi aktiviti pelancongan," tambahnya.
Pada Selasa, Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan bagi menyokong pemulihan ekonomi negara. - DagangNews.com








