Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Dis - Pasaran tempatan dijangka terus hambar sehingga akhir tahun ini terutama apabila pelabur menilai impak daripada varian baharu COVID-19, Omicron yang mula tercetus sejak awal bulan lalu.
CGS-CIMB dalam laporan strategi bagi November juga mendapati, pelabur akan memberi tumpuan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC) pada 14 hingga 15 Disember ini yang akan membawa kemungkinan penamatan lebih awal pengurangan bon di AS.
Pada masa sama, katanya, beberapa pengumuman pelaksanaan cukai dalam Bajet 2022 yang dibentangkan kerajaan pada 29 Oktober lalu, turut menjadi tumpuan kepada pelabur.
"Ini termasuklah impak daripada cadangan kenaikan 50% kadar duti setem bagi nota kontrak yang akan menjadikan Malaysia pasaran paling mahal untuk dagangan di rantau ASEAN mulai 1 Januari 2022.
"Selain itu, pelabur juga akan menilai impak negatif daripada Cukai Makmur serta pemansuhan pengecualian cukai daripada pendapatan sumber asing terhadap pasaran tempatan," katanya dalam laporan itu hari ini.
Berdasarkan laporan tersebut, ketidaktentuan mengenai pelaksanaan cukai dan varian Omicron menyaksikan KLCI pada November susut 48 mata atau 3.1% bulan ke bulan untuk berakhir pada 1,514 mata berbanding Oktober, 1,562 mata.
Ia mendapati pelabur asing terus membeli ekuiti tempatan buat bulan keempat berturut-turut tetapi susut 88% kepada RM200 juta pada November.
Semua sektor mencatatkan kerugian pada bulan tersebut kecuali sektor penjagaan kesihatan dan teknologi, yang muncul sektor terbaik pada November.
Dalam kalangan pasaran MIST (Malaysia, Indonesia, Singapore dan Thailand), KLCI muncul pasaran ekuiti kedua terbaik selepas Singapura, dengan kerugiannya melebar kepada 7% dalam tempoh 11 bulan 2021.
Jumlah purata dagangan harian juga susut 18% bulan ke bulan kepada 3.66 bilion unit manakala nilai purata dagangan harian susut 3% bulan ke bulan kepada RM2.95 bilion.
Menurut CGS-CIMB, berdasarkan laporan musim kewangan suku ketiga, ia menganggarkan untung bersih teras KLCU berkembang 37%, 3.4% dan 9.5% masing-masing bagi 2021, 2022 dan 2023.
"Baru-baru ini kami juga mengurangkan unjuran akhir tahun KLCI kepada 1,495 mata dan membuat unjuran bagi akhir 2022 pada 1,637 mata.
"Pengurangan KLCI bagi akhir tahun ini mencerminkan semakan semula terhadap pendapatan bagi suku ketiga yang baru berakhir," jelasnya. - DagangNews.com








