OCK Group, SenseTime jalin kerjasama manfaat platform AI pacu pertumbuhan di Malaysia dan global | DagangNews Skip to main content

OCK Group, SenseTime jalin kerjasama manfaat platform AI pacu pertumbuhan di Malaysia dan global

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - OCK Group Bhd menerusi OCK Digital Sdn Bhd menjalinkan kerjasama strategik dengan SenseTime bagi memanfaatkan platform kecerdasan buatan (AI) syarikat itu bagi memacu pertumbuhan di Malaysia dan di peringkat global.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, menerusi kerjasama itu juga, mereka akan memanfaatkan ketersambungan, perkhidmatan terurus dan perniagaan tenaga boleh diperbaharui (RE) OCK bagi meningkatkan usaha transformasi digital pelanggannya.

 

Katanya, teknologi SenseTime, termasuk AI generatif, pengesahan muka, analisis tingkah laku dan AI bandar pintar, akan digunakan untuk mempelbagaikan rumusan dan perkhidmatan digital AI baharu untuk pelanggan OCK.

 

"Kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat ini bertujuan memanfaatkan kekuatan, kepakaran dan pelaburan bagi memacu pengembangan dan inovasi yang berterusan.

 

"Dengan memanfaatkan jenama, skala dan keupayaan mereka, perkongsian itu akan mewujudkan platform dan perkhidmatan baharu yang memfokuskan pada keperluan, kesederhanaan dan pertumbuhan pelanggan.

 

"Perjanjian jangka panjang menggariskan komitmen untuk menyampaikan tahap perkhidmatan dan inovasi terbaik dalam kelas kepada pelanggan dan rakan kongsi OCK, menunjukkan komitmen perkongsian yang mendalam antara kedua-dua syarikat," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan OCK Group, Datuk Sam Ooi Chin Khoon berkata, kerjasama itu memberi focus kepada kepentingan kemajuan teknologi, terutamanya dengan penggunaan rangkaian 5G serta sinergi antara kedua-dua syarikat. 

 

"Bersama-sama kami menyasarkan untuk membangunkan platform dan perkhidmatan inovatif yang akan memacu pertumbuhan yang mampan dan membentuk masa depan transformasi digital," katanya.

 

Dalam pada itu, Pengurusan SenseTime Negara Malaysia, Wang Ming menyuarakan keterujaannya untuk bekerjasama dengan OCK Digital bagi meningkatkan ekosistem digital Malaysia sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia. 

 

Beliau menekankan komitmen SenseTime untuk memanfaatkan teknologi AI untuk memperkasakan perniagaan dan memacu pertumbuhan produktiviti yang mampan. - DagangNews.com