KUALA LUMPUR 29 Ogos - OCK Group Berhad, penyedia rumusan rangkaian telekomunikasi terbesar di Malaysia mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 25.5% kepada RM11.7 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM9.3 juta pada tahun sebelumnya.
Kumpulan itu juga mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 24.9% kepada RM177.5 juta berbanding RM142.2 juta pada suku sama tahun lepas.
OCK juga mengalami momentum positif untuk separuh pertama tahun kewangan 2023 dengan hasil meningkat sebanyak 32.5% kepada RM357.2 juta manakala untung bersih sebanyak 24.7% kepada RM23 juta.
Peningkatan itu disebabkan oleh pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada segmen perkhidmatan rangkaian telekomunikasi yang disokong oleh aliran hasil berulang.
Pengarah Urusan kumpulan, Datuk Sam Ooi Chin Khoon berkata, pihaknya akan memulakan separuh kedua tahun kewangan dan kami sangat teruja untuk berkongsi bahawa pihaknya telah mencapai kemajuan yang ketara berikutan prestasi cemerlang setakat ini.
Beliau percaya, pihaknya di landasan yang betul dan bersedia untuk mendapat manfaat memandangkan pelancaran projek berkaitan rangkaian 5G yang digandingkan bersama-sama dengan peralihan akan datang ke arah rangkaian dwi borong.
"Perkara itu mungkin bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan seterusnya untuk merangsang permintaan tambahan untuk perkhidmatan rangkaian telekomunikasi kami.
"Ditambah dengan pertumbuhan hasil berulang yang didorong oleh nisbah penyewaan yang lebih tinggi, ini akan terus menyumbang kepada hasil kami kerana kedua-dua segmen berulang dan tidak berulang akan membolehkan kami menyampaikan nilai yang sangat besar kepada pemegang saham kami yang dihargai," katanya. - DagangNews.com








