KUALA LUMPUR 4 Okt - NuEnergy Gas Limited yang tersenarai di Bursa Saham Australia (ASX) menerusi anak syarikatnya, Dart Energy (Tanjung Enim) Pte. Ltd. memperoleh permit alam sekitar bagi Pelan Pembangunan Tanjung Enim 1 (POD 1) di Indonesia.
Permit alam sekitar itu merupakan perkara penting kepada NuEnergy yang merupakan anak syarikat kepada Globaltec Formation Berhad bagi membangun dan mengkomersialkan Tanjung Enim POD 1, pelan pembangunan metana dasar arang batu pertama untuk syarikat itu dan Indonesia.
Dengan permit alam sekitar itu, NuEnergy kini berada dalam kedudukan terbaik ke arah persediaan akhir bagi pengeluaran gas awal bagi projek di bawah fasa pembangunan laluan pengkomersialan untuk aset Tanjung Enim.
"NuEnergy akan bermula dengan fasa awal jualan gas yang sederhana, dianggarkan pada 1 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) CBM kepada PT. Laras Ngarso Gede (Laras Energy).
"Pengambilan ini akan menyokong fasa awal projek, memajukan pengeluaran kepada 25 mmscfd gas seperti yang diluluskan di bawah POD Tanjung Enim 1.
"Seperti yang diumumkan pada 10 Februari 2023, NuEnergy menandatangani Perjanjian Ketua dengan Laras Energy, yang kemudiannya dilanjutkan pada 10 Ogos 2023," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
NuEnergy kini sedang mengusahakan draf Perjanjian Jualan Gas dengan Laras Energy, yang akan merangkumi syarat yang dipersetujui dengan lebih terperinci.
Pengerusi NuEnergy, Kong Kok Keong berkata, pihaknya sanat gembira dengan pencapaian penting itu kerana mereka bersedia untuk mengambil satu langkah penting ke arah mengkomersialkan aset Sumatera Selatannya, bermula dengan PSC Tanjung Enim. - DagangNews.com








