KUALA LUMPUR 22 Mei - Northport (Malaysia) Bhd, ahli Kumpulan MMC, telah menerima Anugerah Keselamatan Antarabangsa 2023 daripada British Safety Council.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata komitmen syarikat memberi keutamaan terhadap kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE).
“Pengiktirafan ini adalah bukti kerja keras dan dedikasi pasukan kami, rakan niaga serta pihak berkepentingan Northport.
"Kami amat berbangga dapat memimpin usaha bagi mempromosi kesejahteraan pihak berkepentingan dan akan terus mengekalkan tahap keselamatan tertinggi di dalam perjalanan ke arah kecemerlangan HSE," kata Azman.
Beliau telah mewakili syarikat untuk menerima anugerah tersebut daripada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah British Safety Council, Peter McGettrick di majlis penyampaian anugerah di Hotel Landmark, London pada 19 Mei 2023.
British Safety Council merupakan badan penganugerahan dikawal selia oleh kerajaan yang mematuhi pelbagai syarat ditetapkan oleh pengawal selia supaya ketelitian dan konsistensi dalam pemberian kelayakan dikekalkan.
Anugerah Keselamatan Antarabangsa mengiktiraf dan meraikan organisasi dari seluruh dunia yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi dalam memastikan pekerja dan persekitaran kerja yang sihat dan selamat.
Jumlah permohonan bagi anugerah tersebut meningkat dengan ketara kepada 978 tahun ini berbanding 647 pada 2022, mencerminkan pengiktirafan dan penghargaan global yang semakin meningkat bagi memenangi Anugerah Keselamatan Antarabangsa yang berprestij daripada British Safety Council.
Mengulas lanjut, Azman berkata syarikat itu percaya bahawa kecemerlangan HSE bukan hanya sekadar matlamat tetapi juga merupakan satu perjalanan yang memerlukan penambahbaikan dan adaptasi berterusan.
“Kami telah melakar banyak kejayaan sejak fasa transformasi pada tahun 2012 dan amat menghargai setiap pengiktirafan yang diterima daripada rakan-rakan serta pakar industri.
“Anugerah Keselamatan Antarabangsa berprestij ini dan pengiktirafan lain yang diterima oleh Northport adalah peristiwa penting dalam perjalanan syarikat ke arah pertumbuhan yang mampan, dan kami teruja untuk terus berusaha ke arah masa depan lebih selamat, sihat dan berdaya tahan untuk kakitangan, rakan perniagaan, serta pihak berkepentingan kami," tambahnya. -DagangNews.com








