Northport catat rekod baharu untuk segmen kargo, kendali 10 juta FWT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Northport catat rekod baharu untuk segmen kargo, kendali 10 juta FWT

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - Northport (Malaysia) Bhd (Northport) mencatatkan rekod baharu untuk segmen perniagaan kargo konvensionalnya setelah melepasi 10 juta 'Freight Weight Tonnes' (FWT) kendalian kargo.

 

Ia merupakan pencapaian tertinggi dalam setahun sejak pembentukan Northport melalui penggabungan Klang Container Terminal (KCT) dan Klang Port Management (KPM) pada tahun 2000.

 

Rekod baharu tersebut dicapai melalui pemunggahan kargo gegelung keluli dari kapal konvensional, MV Great Agility di Dermaga 21, Northport. 

 

Hadir sama untuk menyaksikan upacara bersejarah tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof, pihak pengurusan serta kakitangan Northport.

 

Azman Shah berkata, tahun 2022 merupakan satu lagi tahun yang gemilang buat Northport. 

 

"Dengan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan yang diterima di peringkat tempatan dan antarabangsa, kami mengakhiri tahun ini dengan prestasi pecah rekod untuk segmen perniagaan kargo konvensional kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurutnya, prestasi pecah rekod berturut-turut itu adalah bukti keupayaan mereka untuk terus meningkatkan produktiviti dan mengembangkan semua segmen perniagaan Northport, di tengah-tengah cabaran perniagaan yang telah mengganggu rantaian bekalan global dan telah menjejaskan pelabuhan di seluruh dunia. 

 

"Pencapaian hari ini telah melonjakkan tanda aras untuk TeamNorthport terus berusaha bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan," katanya.

 

Pencapaian pecah rekod untuk kargo konvensional Northport disumbangkan pertumbuhan ketara dalam segmen Roll-on Roll-off (RoRo) dan pertumbuhan berterusan Hab Logistik Biomass di Southpoint. 

 

Sehingga akhir November 2022, segmen RoRo mencatatkan pertumbuhan dua angka yang ketara sebanyak 76% berbanding tempoh yang sama tahun lepas, didorong oleh insentif cukai kerajaan ke atas pembelian kenderaan. 

 

Sementara itu, pengendalian kargo biomass di terminal pelabuhan Northport yang berusia 121 tahun iaitu Southpoint, juga telah menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 61% berbanding tempoh sama pada 2021.

 

Pada Mei 2022, Northport telah merekodkan pengendalian bulanan tertinggi berjumlah 1.078 juta FWT untuk segmen perniagaan kargo konvensionalnya, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 1.017 juta FWT yang dicatat pada Mei 2021. - DagangNews