KUALA LUMPUR 28 Julai - Nissan menganjurkan pertandingan kecergasan berskala besar, 'Redline Fitness Games' yang menawarkan kenderaan Almera serba baharu kepada peserta bertuah.
Pertandingan yang berlangsung pada 23 dan 24 September 2023 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa MINES (MIECC) itu bakal menjadi satu pertandingan kecergasan terbesar yang pernah diadakan di negara ini.
Pengarah Acara Redline, Callum Meehan berkata, pihaknya teruja menganjurkan Redline Fitness Games Powered by Nissan yang pertama di Malaysia, yang mana akan menghimpunkan para penggemar kecergasan tempatan dan antarabangsa.
"Acara ini bukan sekadar satu pertandingan, malah ia merupakan suatu pengalaman transformatif yang akan membakar semangat para peserta, mencabar diri mereka untuk melangkaui had yang mereka anggapkan selama ini dan menemui 'redline' masing-masing.
"Sejak tiket penyertaan awal “early bird” dilancarkan pada awal bulan ini, sambutan dan sokongan yang kami terima adalah di luar jangkaan. Kami tidak sabar untuk menyaksikan keseronokan, tenaga dan semangat yang akan dibawa peserta kami ke acara ini pada September nanti," katanya dalam kenyataan media di sini.
Pengarah Jualan dan Pemasaran Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, Christopher Tan pula berkata, pihaknya bukan sekadar pengedar kereta, tetapi juga membawakan keceriaan, keyakinan dan senyuman kepada setiap pemandu menikmati keseronokan baharu dalam setiap perjalanan.


"Oleh itu, kami amat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada acara ini kerana ia mencerminkan komitmen kami untuk membawakan keterujaan dan pada masa sama, menggalakkan gaya hidup sihat dan mendorong orang ramai terus mencabar kemampuan masing-masing," katanya dalam kenyataan media di sini.

Para peserta boleh memilih daripada pelbagai kategori untuk menyerlahkan kehebatan diri mereka, iaitu perseorangan lelaki dan wanita (divisyen terbuka dan kompetitif), beregu (beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran), dan pasukan berganti-ganti (lelaki, wanita dan campuran dua lelaki dan dua perempuan).
Orang ramai yang berminat boleh membeli tiketdi www.redlinefitnessgames.com. - DagangNews.com








