Nippon Paint edar 600 liter cat VirusGuard kepada agensi hartanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nippon Paint edar 600 liter cat VirusGuard kepada agensi hartanah

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Nippon Paint Malaysia (Nippon Paint) telah mengedarkan sebanyak 600 liter cat inovasi miliknya, Nippon Paint VirusGuard kepada 42 agensi pengurusan hartanah di Malaysia sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat.

Pengedaran cat itu merupakan salah satu inisiatif #RuangSelamat yang dilaksanakan dengan kerjasama Institut Pengurus Hartanah dan Kemudahan Malaysia (MIPFM).

Presiden MIPFM, Adzman Shah Mohd. Ariffin berkata, sumbangan oleh Nippon Paint tepat pada waktunya memandangkan pengurus hartanah dan pekerja di barisan hadapan bekerja keras ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Nippon Paint VirusGuard akan menjadi perlindungan tambahan buat pejabat pengurusan dan rumah pengawal  yang menerima kunjungan tinggi.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Nippon Paint serta menghargai komitmen mereka dalam menyokong industri hartanah,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dilancarkan pada bulan lalu, Nippon Paint VirusGuard diuji untuk Koronavirus manusia, yang membuktikan penurunan 99.9% dalam titer virus pada filem cat.

Nippon Paint VirusGuard menggunakan Teknologi Silver Ion’yang berkesan untuk mencegah penularan virus serta bakteria menerusi tiga langkah.

Ini termasuk nyah aktif fungsi virus dan bakteria, mengurangkan keupayaan untuk membiak dan membantutkan pertumbuhan yang kelak menyebabkan kematian bakteria dan virus.

“Dengan keadaan COVID-19 yang masih ada, Nippon Paint mengenalpasti keperluan untuk menjaga persekitaran yang selamat dan sihat. Oleh itu, kami yakin bahawa inovasi VirusGuard akan memberi manfaat kepada rakan kongsi dalam industri hartanah untuk memastikan persekitaran selamat di samping melaksanakan kebiasaan baharu.

“VirusGuard akan menjadi faktor yang mengurangkan virus dan bakteria, di samping menjaga amalan kebersihan yang penting,” kata Pengurus Jualan Kanan Nippon Paint, Matt Wong Say Peng. – DagangNews.com