KUALA LUMPUR 13 Mac – Perdagangan Borong & Runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM142.4 bilion pada Januari 2024, jatuh -1.1 peratus berbanding Disember 2023.
Bagi Disember 2023, Perdagangan Borong & Runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan RM143.9 bilion.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan negatif ini disebabkan oleh Perdagangan Runcit yang menurun -2.1 peratus, diikuti oleh subsektor Kenderaan Bermotor yang menguncup -5.1 peratus.
Sebaliknya, subsektor Perdagangan Borong merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 1.2 peratus pada bulan ini.
Walau bagaimanapun, perbandingan tahun ke tahun menyaksikan nilai jualan Januari 2024 meningkat 5.4 peratus berbanding Januari tahun lalu.
Ketua Pengarah DOSM, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tahun ke tahun bagi Perdagangan Borong & Runcit pada Januari 2024 dipacu oleh subsektor Perdagangan Borong yang meningkat 5.5 peratus atau RM3.3 bilion kepada RM63.7 bilion.
Beliau berkata, kenderaan bermotor juga berkembang dengan mencatatkan 16.0 peratus atau RM2.4 bilion kepada RM17.6 bilion, diikuti oleh perdagangan runcit dengan pertumbuhan 2.6 peratus atau RM1.5 bilion untuk berada pada RM61.1 bilion.

“Pertumbuhan 5.5 peratus tahun ke tahun bagi Perdagangan Borong pada bulan ini disumbangkan oleh Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong yang meningkat RM1.8 bilion atau 8.3 peratus kepada RM24.0 bilion.
"Ini diikuti oleh Jualan Borong Makanan, Minuman & Tembakau (4.6%), Jualan Borong Barangan Isi Rumah (2.9%), Jual Borong Bahan Mentah Pertanian & Haiwan Hidup (4.2%), Jualan Borong Jentera, Peralatan & Bekalan (4.5%), Perdagangan Borong Tanpa Pengkhususan (4.3%) dan Jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran (2.1%).
"Bagi perbandingan bulanan, Perdagangan Borong kembali mencatatkan pertumbuhan positif iaitu 1.2 peratus, terutamanya disumbangkan oleh Jualan Borong Makanan, Minuman & Tembakau (6.7%), Jualan Borong Barangan Isi Rumah (2.0%), Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong (0.6%) dan Perdagangan Borong Tanpa Pengkhususan (0.6%),” katanya dalam kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat RM1.7 trilion jualan tahunan pada 2023 - DOSM
Kata Ketua Perangkawan,subsektor Kenderaan Bermotor menyaksikan kenaikan 16.0 peratus tahun ke tahun pada Januari dipacu oleh Jualan Kenderaan Bermotor yang melonjak 20.9 peratus atau RM1.6 bilion untuk merekodkan RM9.3 bilion.
Ini diikuti oleh Jualan Komponen & Aksesori Kenderaan Bermotor (11.9%), Penyelenggaraan & Pembaikan Kenderaan Bermotor (12.4%) dan Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal (5.4%). S
"Sebaliknya, bagi perbandingan bulanan, subsektor ini menguncup -5.1 peratus disebabkan oleh Jualan Kenderaan Bermotor yang merudum -11.3 peratus," jelasnya.
Beralih kepada indeks volum, Perdagangan Borong & Runcit pada Januari 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.5 peratus. Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu Kenderaan Bermotor (12.1%), Perdagangan Borong (4.0%) dan Perdagangan Runcit (1.4%). Bagi indeks volum pelarasan musim, ia jatuh -0.9 peratus bulan ke bulan.- DagangNews.com








