Niaga hadapan Minyak Sawit Mentah dijangka diniagakan tinggi sedikit minggu ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Niaga hadapan Minyak Sawit Mentah dijangka diniagakan tinggi sedikit minggu ini

oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR 20 Nov - Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi sedikit minggu ini berikutan kelemahan harga baru-baru ini mungkin mendorong aktiviti pembelian semasa harga murah.

 

Peniaga minyak sawit, David Ng berkata, data eksport minyak sawit Malaysia (November) dijangka dikeluarkan oleh juruukur kargo dan akan menjadi salah satu tumpuan minggu depan.

 

“Saya berpendapat data eksport mungkin lemah disebabkan sentimen global yang lemah dan juga kekukuhan ringgit berbanding dolar AS baru-baru ini.

 

“Kami menjangkakan harga akan diniagakan antara RM3,700 dan RM4,200 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

 

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Kumpulan Sunvin yang berpangkalan di Mumbai, India, Anilkumar Bagani berkata ringgit yang lebih kukuh untuk sepanjang minggu ini juga telah menyumbang kepada kemerosotan niaga hadapan MSM dalam denominasi ringgit.

 

"Peningkatan kes COVID-19 di China turut memberi kesan kepada harga tenaga, mengakibatkan gambaran makro yang lebih lemah," katanya.

 

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya diutup pada hari Jumaat (18 November) berikutan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan pada 18 dan November sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

 

Operasi akan bersambung pada Isnin, 21 November 2022. 

 

Minggu yang baru berakhir ini, niaga hadapan MSM kebanyakannya ditutup lebih rendah berikutan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS dan sentimen pasaran yang lebih lemah, kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran dan eksport ebih lemah serta kelemahan dalam pasaran minyak kacang soya Chicago yang terus memberi tekanan terhadap harga.

 

Bagi asas mingguan, niaga hadapan MSM bagi bulan Disember 2022 turun RM402 kepada RM3,791 setan metrik, Januari 2023 jatuh RM459 kepada RM3,828 satu tan metrik, Februari 2023 berkurangan RM474 kepada RM3,850 dan Mac 2023 merosot RM472 kepada RM3,858 setan metrik, April 2023 menguncup RM475 kepada RM3,835 satu tan metrik dan Mei 2023 turun RM476 kepada RM3,802 setan metrik.

 

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 279,872  lot daripada 332,293  lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat  kepada 209,300 lot daripada 199,122 kontrak pada akhir minggu lepas.

 

Harga MSM fizikal bagi November Selatan bagaimanapun merosot RM320 kepada RM3,900 satu tan metrik. - DagangNews.com