Ni Hsin, foodpanda jalin kerjasama inisiatif penghantaran guna motosikal elektrik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ni Hsin, foodpanda jalin kerjasama inisiatif penghantaran guna motosikal elektrik

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd, anak syarikat Ni Hsin Group Bhd memeterai perjanjian kerjasama perniagaan (BCA) dengan foodpanda Malaysia bagi memacu agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka.

 

Kerjasama ini bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon, menyokong rumusan pengangkutan mesra alam dan mempromosikan kemampanan dalam industri makanan. 

 

Kedua-dua pihak berhasrat untuk mencapai objektif ini secara bersama dan menggalakkan penggunaan mampan dalam kalangan penunggang foodpanda dengan menggunakan motosikal EBIXON EV menggantikan motosikal enjin pembakaran dalaman (ICE).

 

Untuk memberi insentif dan menggalakkan penunggang foodpanda menggunakan motosikal EBIXON EV, NH EV Tech akan memberikan foodpanda dua buah motosikal EBIXON BOLD, serta diskaun kepada rakan penghantar bagi mengurangkan pelepasan karbon dengan motosikal elektrik. 

 

Melalui inisiatif tersebut, foodpanda akan mempromosikan motosikal EV NH EV Tech kepada berpuluh-puluh ribu penunggang.

 

Pengarah Urusan NH EV Tech, Khoo Chee Kong berkata, pihaknya percaya cara yang lebih pantas untuk melaksanakan perubahan dan memberi impak ketara terhadap perubahan iklim adalah bekerjasama dengan warga korporat dan konglomerat yang mempunyai pemikiran sama.

 

Katanya, dengan dasar dan sasaran kerajaan yang menyokong peralihan dua roda ICE kepada EV, termasuk insentif cukai, pemasangan infrastruktur pengecasan, mereka yakin kerjasama ini mencapai kejayaan.

 

 

foodpanda

 

 

"Salah satu objektif model perniagaan kami adalah untuk menyokong B40, bagi menawarkan program usahawan dengan pakej pembiayaan dengan kerjasama pelbagai institusi seperti koperasi dan agensi kerajaan," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif foodpanda Malaysia, Sayantan Das pula berkata, pihaknya berusaha untuk menjadikan penghantaran makanan lebih mesra alam dan mampan.

 

"Kami mempunyai tanggungjawab untuk memupuk perubahan positif dalam cara kami beroperasi, menerima amalan mesra alam untuk meminimumkan jejak ekologi kita.

 

]"Sebagai contoh, dengan memperkenalkan program 'foodpanda walker', yang mana mereka tidak perlu memiliki motosikal untuk membuat penghantaran.

 

"Kami berharap kerjasama ini akan turut menyumbang kepada wawasan kerajaan untuk mempunyai 1.5 juta EV di jalan raya menjelang 2040," katanya. - DagangNews.com