KUALA LUMPUR 6 Dis - Bekas Pengerusi Kumpulan CIMB Bhd, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Pahang (MPEN).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan MPEN yang berkuat kuasa 1 Disember 2023 untuk tempoh dua tahun.
Beliau berkata, MPEN yang dipengerusikan oleh Mohamed Nazir, turut dianggotai 9 orang lagi ahli iaitu dua orang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kerajaan negeri, dua pegawai kanan negeri, bersama lima lagi ahli.
Katanya, di samping itu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dilantik sebagai Sekretariat MPEN.
"MPEN ditubuhkan agar kerajaan negeri dapat menggabungkan pengalaman dan kepakaran ahli-ahlinya daripada sektor swasta dan kerajaan negeri bagi membantu mempercepatkan ke arah ekonomi negeri yang mampan.
"Fungsinya untuk merancang dan menggubal Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang untuk tempoh lima tahun," katanya menerusi hantaran di Facebook di sini, hari ini.


Wan Rosdy berkata, MPEN juga bertanggungjawab memberi nasihat strategik tentang peluang-peluang pembangunan ekonomi, cabaran dan perkembangan ekonomi baharu yang memberi fokus kepada pembangunan industri, inovasi tarikan pelaburan, perdagangan, pembangunan wilayah dan pembangunan tenaga kerja.
Beliau juga berharap dengan penubuhan MPEN, sektor ekonomi Pahang akan terus dapat dipacu dengan lebih baik, komprehensif serta berdaya saing untuk menjadikannya sebagai sebuah negeri maju. - DagangNews.com








