Nasi Lemak Mak-Zee tambat hati juri, juarai pertandingan sempena Hari Pengenalan Produk Baharu FSTM UPM 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nasi Lemak Mak-Zee tambat hati juri, juarai pertandingan sempena Hari Pengenalan Produk Baharu FSTM UPM 2023

Kumpulan Mak-Zee berjaya membawa pulang RM2,000 selepas menjuarai pertandingan sempena Hari Pengenalan Produk Baharu FSTM 2023, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 22 Jun - Tampil dengan inovasi lipatan pembungkusan nasi lemak yang unik serta menggunakan santan kelapa sawit membawa tuah kepada sekumpulan pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila menjuarai Hari Pengenalan Produk Baharu FSTM 2023. 

 

Kemenangan itu membolehkan kumpulan Mak-Zee Sdn Bhd yang diketuai pelajar Bacelor Sains dan Teknologi Makanan, Mas Amalia Mohd Effendi membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM2,000. 

 

Mas Amalia yang merupakan pelajar tahun tiga jurusan berkenaan tidak menyangka hasil inovasi makanan bersama tujuh ahli kumpulannya itu berjaya menambat hati para juri yang merupakan pemain industri makanan. 

 

Katanya, cetusan idea timbul berikutan rasa cinta kepada makanan tradisi orang Melayu iaitu nasi lemak, yang mana jangka hayatnya tidak tahan lama apabila dibungkus sekali bersama timun dan sambal. 

 

"Kami telah berusaha untuk memanjangkan jangka hayat hidangan nasi lemak pada suhu bilik untuk menangani isu hidangan itu mudah basi selain membawa kelainan baharu dalam pembungkusannya.  

 

"Penggunaan santan sawit menggantikan santan kelapa memberi manfaat kepada si pemakan kerana santan sawit bebas kolesterol tanpa lemak trans," katanya. 

 

Menurut pelajar itu, nasi lemak yang dibungkus menerusi teknik lipatan tanpa menggunakan dawai kokot serta mempunyai pembahagian antara nasi, sambal dan timun menggunakan plastik terbiodegradasi memberikan nasi lemak kekal segar dan tahan lebih lama. 

 

 

upm

 

 

"Hampir 14 minggu kami bertungkus-lumus menyiapkan produk ini dan sememangnya sudah banyak kali saya berputus asa tidak mahu meneruskan projek ini. Pada saat akhir, saya dan ahli kumpulan masih mengubah video projek makanan ini. 

 

"Saya lihat ahli kumpulan lain semuanya hebat. Jadi saya tidak pernah jangka kumpulan kami akan menjadi juara tambahan pula sumber bahan uji kaji untuk penilaian mikrobiologi tidak mencukupi dan  hasil uji kaji penilaian makmal kumpulan kami gagal. Jadi kami perlu buat lagi sekali," katanya. 

 

 

upm

 

 

Program yang bertemakan 'Inovasi Penggerak Industri Makanan' itu memberi tumpuan kepada rumusan yang dihadapi oleh industri makanan seperti pemanjangan jangka hayat serta penambahbaikan ciri-ciri fizikokimia dan kandungan nutrisi produk secara amnya. - DagangNews.com