Nafas, Angkasa usahakan tanaman jagung bijirin skala besar atasi kebergantungan import - PM | DagangNews Skip to main content

Nafas, Angkasa usahakan tanaman jagung bijirin skala besar atasi kebergantungan import - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika pertemuan dengan Ahli Jemaah Pengarah Nafas dan anggota Angkasa bagi membincangkan mengenai langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara, pagi tadi. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Jun - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Anggota Lembaga Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin, bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, bagi tujuan itu, Nafas telah mengenalpasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.

 

Beliau berkata, Angkasa pula telah mengenalpasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. 

 

"Setiap hektar mampu mengeluarkan 5 tan jagung bijirin dan menampung sebanyak 20% daripada keperluan import jagung bijirin dalam tempoh lima tahun ini. Usaha Nafas dan Angkasa yang berskala besar ini diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung bijirin bagi kegunaan makanan ayam," katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, Perdana Menteri telah bertemu dengan Ahli Jemaah Pengarah Nafas dan anggota Angkasa bagi membincangkan mengenai langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara, pagi tadi. 

 

Menurut Ismail Sabri, kerajaan menyambut baik inisiatif Nafas dan Angkasa untuk terlibat secara signifikan dalam industri ternakan ayam. 

 

Beliau bekata, ia selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), yang mahu kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam.

 

 

pm

 

 

"Nafas dan Angkasa akan terlibat dalam ekosistem industri ayam bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna," katanya.

 

Katanya, Nafas menyasarkan untuk menguasai 20% pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun, manakala ANGKASA sejumlah 30 juta ekor setahun.

 

"Saya yakin Nafas dan Angkasa berupaya membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan. 

 

"Ini kerana Nafas mempunyai seramai 1 juta ahli, manakala 7 juta ahli bernaung di bawah Angkasa melalui 14,835 koperasi. Angkasa juga diminta menerajui sektor koperasi dalam menangani kenaikan kos sara hidup," katanya.

 

Tambahnya, pada masa sama, langkah proaktif Nafas dan Angkasa ini juga mampu menstabilkan bekalan dan harga ayam di pasaran bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia. - DagangNews.com