MyHSR lanjutkan tempoh pembelian dokumen RFI bagi HSR KL-Singapura sehingga 15 November | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyHSR lanjutkan tempoh pembelian dokumen RFI bagi HSR KL-Singapura sehingga 15 November

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) telah melanjutkan pembelian dokumen Permintaan Maklumat (Request For Information, RFI) projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-Singapura) sehingga 15 November 2023.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, MyHSR berkata sambutan dan permintaan yang menggalakkan daripada pemain industri menyebabkan pembelian dilanjutkan sepanjang peringkat cadangan konsep.

 

“Firma dan konsortium yang berminat boleh membeli dokumen RFI mulai sekarang hingga 15 November 2023, iaitu tarikh tutup penyerahan cadangan konsep bagi projek HSR KL-Singapura.

 

“Sehingga kini, hampir 30 firma tempatan dan antarabangsa telah mendaftar untuk membeli Dokumen RFI.

 

“Sambutan positif daripada pemain industri telah memberi galakan kepada MyHSR,” katanya.

 

Menurut syarikat itu, lebih 700 peserta tempatan dan asing, mewakili spektrum penuh projek HSR, telah menghadiri taklimat RFI tersebut di auditorium Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Khamis, 27 Julai 2023.

 

Selain wakil daripada syarikat Malaysia, MyHSR berkata  taklimat RFI turut dihadiri wakil pemain industri dari United Kingdom, Sepanyol, Jerman, Itali, Belanda, Australia, China, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, Thailand dan Singapura.

 

Maklumat mengenai pelaksanaan RFI dan tempahan dokumen RFI boleh didapati di laman web MyHSR Corp di https://www.myhsr.com.my/rfi. - DagangNews.com