MYAirline peroleh lanjutan sijil pengendali udara selama 2 tahun daripada CAAM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MYAirline peroleh lanjutan sijil pengendali udara selama 2 tahun daripada CAAM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - MYAirline Sdn Bhd telah menerima lanjutan sijil pengendali udara (AOC) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), yang membolehkannya beroperasi selama dua tahun lagi.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Eksekutif sementara MYAirline, Stuart Cross berkata AOC terbabit menandakan penilaian menyeluruh terhadap operasinya, termasuk tetapi tidak terhad kepada penyelenggaraan, latihan anak kapal, protokol keselamatan dan pengurusan organisasi.

 

“Proses ini melibatkan penilaian ketat dan audit berkala yang dijalankan oleh CAAM, menunjukkan komitmen MYAirline untuk memenuhi dan melebihi penanda aras industri.

 

“Pencapaian ini menekankan usaha berterusan kami untuk mengutamakan keselamatan dan pematuhan dalam setiap aspek operasi kami.

 

"Ia mencerminkan dedikasi kami untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan sambil mengekalkan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan yang terbaik," ujar beliau.

 

Syarikat penerbangan tambang rendah itu telah memulakan operasi pada Disember 2022 dan mengendalikan lapan pesawat Airbus A320-200 dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada masa ini dan menyasarkan untuk memiliki 20 pesawat menjelang akhir tahun ini.  - DagangNews.com