My3DPM: Medium perkongsian idea pereka ke arah Industri 4.0 | DagangNews Skip to main content

My3DPM: Medium perkongsian idea pereka ke arah Industri 4.0

Pengarah Pusat Inovasi Industri dalam Pembuatan Pintar SIRIM, Dr. Mohd Shahrul Azmi Mohamad Yusoff (kanan) menerangkan kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkenaan replika tengkorak yang dicetak menggunakan teknologi percetakan 3D, sambil disaksikan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani (dua dari kanan) di SIRIM Bukit Jalil, hari ini.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Platform digital My3D Printing Marketplace (My3DPM) yang dibangunkan dengan kerjasama Pusat Inovasi Industri dalam Pembuatan Pintar SIRIM bersama syarikat tempatan, Digital Data Sdn. Bhd., merupakan medium perhubungan dan perkongsian idea dalam kalangan pereka ke arah Industri 4.0.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, My3DPM membantu pereka menterjemahkan idea dan rekaan dalam bentuk sebenar dengan menggunakan teknologi percetakan 3D.  

"Pengguna portal bukan sahaja boleh mengakses rekaan yang dikongsi di portal ini, malahan mereka juga boleh memuat naik serta memuat turun data yang dikongsi di portal ini.

"Sehingga kini, sebanyak 12,865 capaian telah diterima dan seramai 33 pereka telah memuat naik rekaan mereka, di mana 180 rekaan telah dimuat naik dan 18 orang telah mencetak rekaan mereka menggunakan portal ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Portal My3DPM yang mula dibuka sejak Mac 2019 itu turut menjadi medium kepada pereka bebas, usahawan teknologi dan syarikat pembuatan untuk berhubung dan berkongsi idea dalam industri reka bentuk, teknologi dan pembuatan.  

Portal digital 3D Printing Marketplace  boleh dilayari di my3dpm.com.

Portal baharu itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong di SIRIM Bukit Jalil, hari ini.

My3DPM turut dilancar bersama dua inisiatif baharu lain iaitu pensijilan Certified Industrial Designer (CID) dan Pertandingan Kempen Kreatif COVID-19.

Kesemua inisiatif tersebut adalah usahasama SIRIM dan Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Perdangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Inisiatif itu juga bertujuan untuk menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pembuatan, meningkatkan produktiviti nasional, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan keupayaan serta daya saing inovasi industri tempatan. - DagangNews.com