Muhtar Suhaili diumumkan sebagai CEO Kumpulan EPIC Berhad berkuatkuasa 17 April 2024 | DagangNews Skip to main content

Muhtar Suhaili diumumkan sebagai CEO Kumpulan EPIC Berhad berkuatkuasa 17 April 2024

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA TERENGGANU 15 April – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) mengumumkan pelantikan Muhtar Suhaili sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC berkuatkuasa 17 April 2024.

 

Beliau menggantikan Ridzuan Ali yang menamatkan perkhidmatan pada 16 April 2024. Muhtar sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC.

 

Muhtar mempunyai pengalaman lebih dari 20 tahun dalam industri minyak dan gas, automotif, komoditi, pengurusan pelabuhan, sektor logistik, dan tenaga boleh diperbaharui.

 

Beliau telah mendapat pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Mekatronik dan melanjutkan pelajaran  di Curtin University Australia serta memperoleh Ijazah Sarjana Teknologi Petroleum.

 

Beliau merupakan Teknologis Profesional dan kini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan. Selain itu, Muhtar juga telah mengikuti kursus kepimpinan eksekutif di Harvard Bussiness School dan Saïd Business School, University of Oxford.

 

 

Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad

 

 

Sebelum menyertai EPIC Berhad pada Disember 2022, Muhtar merupakan CEO di Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), dan sebelumnya berkhidmat bersama Shell selama 15 tahun dan Perodua Auto Corporation Sdn Bhd.

 

Beliau juga pernah diamanahkan sebagai Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC). Muhtar mempunyai pengalaman bekerja di Malaysia dan luar negara, iaitu di Belanda dan Jerman.

 

Misi beliau adalah untuk menjana pertumbuhan perniagaan syarikat di samping memperkasa sumber tenaga modal insan dengan memanfaatkan kepakaran dan rangkaian beliau di sektor minyak dan gas.

 

 

wainuiomata

 

 

Muhtar berhasrat menggunakan pengalaman mengendalikan pelbagai projek mega dan pengurusan kontrak perniagaan di peringkat tempatan mahupun luar negara untuk membawa EPIC ke peringkat kejayaan yang lebih tinggi. 

 

Muhtar berusia 43 tahun, berkahwin dengan Wan Lydia Salmi Wan Junaidi dan dikurniakan lima cahaya mata. 

 

Dengan pengalaman dan kepakaran yang luas, Kumpulan EPIC yakin di bawah kepimpinan Muhtar Suhaili, Kumpulan EPIC mampu untuk terus meningkatkan prestasinya dalam membangunkan syarikat sekaligus menyumbang kepada kesejahteraan Negeri Terengganu khususnya selaras dengan motto “Maju, Berkat, Sejahtera”.

 

 

epic

 

 

"EPIC Berhad mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan CEO Kumpulan, Ridzuan Ali, atas segala jasa, bimbingan dan sumbangan yang diberikan sepanjang beliau berkhidmat di syarikat selama dua tahun," kata syarikat itu. - DagangNews.com