KUALA LUMPUR 18 Jan - Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA) menggesa penggubalan peraturan mengawal industri vape untuk mengelak reka bentuk yang menarik minat golongan bawah umur.
Tular di media sosial baru-baru ini suatu produk vape berbentuk kartun dijual di pasaran dan membangkitkan kebimbangan pelbagai pihak termasuk industri.
Mengambil maklum hal ini, MRECA telah mengarahkan pihak pembekal untuk menghentikan penjualan produk tersebut dan ditarik balik dari pasaran.

Presiden MRECA, Dato’ Adzwan Ab Manas berkata tindakan menjual peranti tersebut adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan peraturan wajar diwujudkan untuk mengawal reka bentuk produk.
“Peniaga dan pembekal harus membuat tapisan produk sebelum menjualnya di pasaran dan memastikan ia bukanlah satu produk yang boleh menarik minat golongan bawah umur.”
“Jika ada yang berdegil serta masih menjual produk sedemikian, tindakan harus diambil supaya produk ini tidak kekal dalam pasaran tempatan,” tambah Adzwan.
Beliau juga menekankan penggunaan vape adalah untuk orang dewasa dan tidak wajar reka bentuk diolah menggunakan karakter kartun yang boleh menarik perhatian golongan bawah umur.
“Industri berharap kerajaan boleh mengeluarkan peraturan dengan secepat mungkin supaya industri mempunyai hala tuju dan memastikan produk dan aktiviti dalam industri dapat dikawal,” kata Adzwan.
Pada akhir tahun 2021, kerajaan telah mengumumkan cukai ke atas cecair vape bernikotin yang akan dilaksanakan untuk kawal selia dan peraturan juga akan diperkenal untuk mengawal industri vape.
Walau bagaimanapun, pelaksanaannya masih ditangguh sehingga kini. - DagangNews.com








