MPAS akan mula menyumbang keuntungan kepada Cahya Mata Sarawak menjelang 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MPAS akan mula menyumbang keuntungan kepada Cahya Mata Sarawak menjelang 2024

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Okt - MIDF Research menjangkakan Malaysian Phosphate Additives Sarawak Sdn. Bhd. (MPAS) akan mula menyumbang keuntungan kepada Cahya Mata Sarawak menjelang 2024 apabila operasi komersialnya beroperasi awal tahun depan.  

 

Cahya Mata Sarawak memiliki 60% pegangan dalam MPAS menerusi unit milik penuhnya, Samalaju Industries Sdn. Bhd. manakala selebihnya dimiliki Malaysian Phosphate Ventures (27.2%) dan Arif Enigma (12.8%).

 

Fasa pertama kilang itu terdiri daripada empat relau, memulakan operasi pada awal Ogos manakala tiga lagi pada akhir tahun ini.

 

Menurut firma itu, apabila kilang itu memulakan operasi komersial penuh, ia akan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 48,000 tan fosforus kuning dan 75,000 tan asid fosforik gred teknikal atau 60,000 tan asid fosforik gred makanan.

 

Katanya, sebagai satu-satunya kompleks fosfat bersepadu di negara ini, MPAS mempunyai kelebihan kepada MPAS untuk menjadi yang pertama setakat ini dalam pasaran Malaysia.

 

"Malah di peringkat serantau juga, tidak ada pendatang baharu dalam pasaran untuk tempoh sekurang-kurangnya sejak sedekad lalu.

 

"Oleh itu, penyertaan Cahya Mata Sarawak dalam perniagaan fosfat melalui MPAS adalah tepat pada masanya ekoran kekurangan bekalan terutama dari China, yang terjejas akibat sekatan terhadap industri intensif tenaga apabila negara itu berikrar ke arah sifar pelepasan karbon menjelang 2060," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

MPAS terletak di kawasan seluas 350 ekar di Taman Perindustrian Samalaju (SIP), kira-kira 60 kilometer (km) dari Bintulu, Sarawak dengan kira-kira 30% daripada kawasan itu telah digunakan setakat ini.

 

Lokasinya juga bertentangan dengan Pelabuhan Perindustrian Samalaju, memberikan MPAS kelebihan logistik untuk pergerakan barangan siap dan bahan mentah.

 

Antara banyak kegunaan asid fosforik adalah untuk penapisan minyak sawit, untuk menghasilkan detergen dan sabun, baja dan makanan haiwan manakala sebahagian daripada ramuan makanan dan minuman seperti minuman ringan, dan juga digunakan untuk penggilap logam, penyingkiran karat, penyaduran zink serta penggunaan dalam pembuatan semikonduktor.

 

Ketika ini, pemain utama dalam pasaran fosfat ialah Vietnam dan Kazakhstan, yang kedua-duanya mempunyai pasaran yang berbeza di seluruh dunia.

 

MIDF Research berkata, permintaan masih kukuh, yang disebabkan kekurangan bekalan dan harga fosforus kuning melonjak daripada AS$2,815 satu tan pada Sept 2021 kepada AS$7,521 satu tan pada Feb 2022, atau hampir 2.7 kali ganda dalam tempoh lima bulan sahaja. Sejak itu, harga telah menyederhana kepada AS$5,500 setan pada Oktober 2022.

 

Menurutnya pengurusan kumpulan memberi panduan harga fosforus kuning akan stabil melebihi paras sebelum COVID-19, yang pernah berlegar antara AS$2,900 hingga AS$3,100 satu tan.

 

"Kumpulan yakin bahawa harga tidak akan jatuh di bawah AS$4,000 dan walaupun pada AS$4,000, ia masih kekal sebagai perniagaan yang sangat menguntungkan.

 

"Kami berpendapat bahawa titik pulang modal adalah sekitar AS$2,500 setiap tan. Ini akhirnya mungkin lebih rendah kerana MPAS mengoptimumkan kosnya kerana ia mengautomasikan proses seterusnya dan memulakan perjanjian jangka panjang untuk pembekalan bahan mentah," jelasnya.

 

Firma itu berkata, MPAS setakat ini sudah memperoleh 60% komitmen daripada pelanggan di Indonesia, Thailand, Jepun, Korea Selatan dan beberapa bahagian di China dan Eropah. 

 

Berdasarkan anggaran, Vietnam dan Kazakhstan mengeksport kira-kira 200,000 tan fosforus setiap tahun dan apabila MPAS siap, ia akan mempunyai kapasiti eksport kira-kira 48,000 tan setahun.

 

"Pengurusan sebelum ini memberi panduan bahawa MPAS akan menjadi neutral tunai pada 2023 dan optimistik akan menyaksikan aliran keuntungan menjelang 2024. 

 

"Dengan mengandaikan bahawa ia berjaya memenuhi keseluruhan kapasiti eksportnya sebanyak 48,000 tan menjelang 2025 dan jika harga fosforus kuning stabil pada AS$4 ,000 setiap tan, kumpulan akan menambah kira-kira RM50 juta kepada pendapatan bersihnya setiap tahun menjelang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berdasarkan margin purata industri sebanyak 10%," katanya.

 

Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Cahya Mata Sarawak dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.37 sesaham.

 

"Kami optimis terhadap prospek jangka panjang kumpulan kerana ia mempelbagaikan perniagaan fosfat, yang akan menyaksikan permintaan mampan disebabkan pelbagai penggunaan dan pada harga melebihi paras sebelum pandemik berikutan kelembapan pengeluaran di China," jelasnya.

 

Setakat 9.17 pagi, harga sahamnya menokok 1 sen atau 1.2% kepada 84.5 sen dengan 11,200 saham diniagakan. - DagangNews.com