Momentum pertumbuhan Malaysia dijangka terus memperkukuh daya tahan ekonomi – AMRO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Momentum pertumbuhan Malaysia dijangka terus memperkukuh daya tahan ekonomi – AMRO

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Momentum pertumbuhan Malaysia dijangka berterusan pada tahun ini memandangkan permintaan domestik berdaya tahan dan pemulihan pelancongan lebih kukuh walaupun terdapat kelembapan global, kata Pejabat Penyelidikan Makroekonomi Asean+3 (AMRO).

 

Merumuskan Laporan Perundingan Tahunan 2023 bagi Malaysia, pertubuhan antarabangsa itu berkata inflasi negara menyederhana namun kekal tinggi, di mana pihak berkuasa digalakkan untuk meneruskan usaha membendung tekanan inflasi, membina rizab asing, memulihkan ruang fiskal jangka sederhana, dan mempercepatkan pembaharuan struktur bagi mengukuhkan lagi daya tahan ekonomi menghadapi cabaran masa depan.

 

AMRO mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara sederhana sebanyak 4.2% tahun ini selepas ia melantun dengan kukuh pada 8.7% tahun lalu, mencerminkan rintangan luar yang kuat.

 

Menurut AMRO, walaupun lebihan perdagangan teguh dan aliran masuk pelaburan asing memberangsangkan, nilai ringgit semakin tidak stabil sepanjang tahun lalu dan separuh pertama tahun ini berikutan keadaan kewangan global lebih ketat dan penghindaran risiko besar.

 

“Dasar monetari boleh diperketatkan lagi bagi membendung tekanan inflasi berikutan inflasi teras teguh dan jurang keluaran positif. Pengetatan dasar monetari akan membantu mengukuhkan jangkaan inflasi sambil mengurangkan risiko ketidakseimbangan kewangan.

 

“Walaupun fleksibiliti kadar pertukaran mata wang asing harus dikekalkan sebagai penyerap kejutan, campur tangan perlu digunakan dengan bijak bagi menangani turun naik kadar pertukaran yang berlebihan.

 

“Intervensi sedemikian perlu disokong oleh penampan luaran yang kuat untuk menjadi berkesan. Memandangkan penurunan rizab pertukaran mata wang asing baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) harus terus membina rizab asing apabila keadaan pasaran mengizinkan,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Walaupun usaha kerajaan mempercepatkan penggabungan fiskal adalah wajar, AMRO berkata sasaran fiskal jangka sederhana akan mencabar untuk dicapai tanpa memperkenalkan pembaharuan besar dalam cukai.

 

Dalam hal ini, jelasnya, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) perlu diperluaskan dalam tempoh terdekat sebagai pelopor kepada pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 2025, di mana GST mungkin pada kadar kurang daripada 6%.

 

Tambahnya, penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan adalah penting untuk meningkatkan ketelusan dan menginstitusikan kewangan awam yang kukuh.

 

Peralihan daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar juga perlu untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan menyediakan ruang fiskal agar memperkukuhkan perlindungan sosial.

 

“Pihak berkuasa digalakkan untuk terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti tinggi, mengukuhkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula tenaga kerja.

 

“Ini selaras dengan usaha bersepadu dalam membina ekonomi digital, menambah baik kecukupan dan liputan perlindungan sosial, serta mempercepatkan pelaksanaan dasar untuk memberi insentif kepada peralihan ekonomi rendah karbon,” tambahnya. - DagangNews.com