Momentum pendapatan Eco World Development stabil, dijangka catat jualan hartanah melebihi sasaran – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Momentum pendapatan Eco World Development stabil, dijangka catat jualan hartanah melebihi sasaran – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun - Momentum pendapatan Eco World Development Group Berhad stabil berikutan keuntungan bersih suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) dalam jangkaan manakala jualan hartanah lebih daripada yang dijangkakan.

 

Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), kumpulan itu mungkin mencatat jualan hartanah melebihi sasaran syarikat sebanyak RM3.5 bilion bagi tahun kewangan 2023 (FY23).

 

Dalam masa tujuh bulan pertama tahun kewangan 2023 (7MFY23), Eco World Development telah mencapai RM2.4 bilion atau 69% daripada sasaran tersebut, dipacu oleh kediaman bertanah yang merangkumi 41% daripada jumlah jualan dan hartanah industri pada 35%.

 

“Daripada jualan kediaman RM1.2 bilion, firma itu berkata 40% datang dari rumah kelas atas berharga melebihi RM650,000 seunit manakala baki 60% daripada hartanah di bawah RM650,000 seunit kerana pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), kumpulan itu memfokuskan pada mereka yang ingin menaik taraf,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu berkata jualan tidak dibilkan daripada projek kumpulan di Malaysia pada akhir April 2023  adalah RM4.23 bilion atau 1.4 kali daripada pendapatan firma bagi FY23.

 

“Kami menyemak semula pendapatan FY23, FY24 dan FY25 sebanyak +0.4%, -2% dan -1.6% untuk mengambil kira unjuran kerugian Eco World International Berhad yang lebih tinggi dan andaian jualan Eco World Development  pada FY23 lebih tinggi sebanyak RM3.7 bilion.

 

 

BACA: Projek Eco World International di London rugi, Maybank IB tingkatkan unjuran kerugian pada FY23-25

 

 

“Dividen daripada Eco World International akan diisytiharkan menjelang Ogos 2023, mengukuhkan lagi kunci kira-kira Eco World Development dan menyokong usahanya meneroka peluang menambah tanah di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor untuk pembangunan perbandaran dan perindustrian,” tambahnya.

 

Mengulas keputusan 2QFY23, Maybank IB berkata keuntungan bersih Eco World Development   pada suku semasa telah meningkatkan keuntungan bersih 6MFY23 sebanyak 14% tahun ke tahun (YoY) kepada RM119 juta, menyumbang 43% dan 49% daripada unjuran pendapatan firma dan konsensus bagi FY23, di mana pendapatan kumpulan itu biasanya lebih kukuh pada suku keempat.

 

Walaupun penurunan 13% YoY dalam pendapatan pada 1HFY23 disebabkan penyiapan beberapa projek, firma itu menjelaskan bahawa keuntungan bersih meningkat 14% YoY disebabkan sumbangan kukuh daripada projek usaha sama tempatannya dan margin operasi yang lebih baik.

 

Sementara itu, margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bagi 1HFY23 meningkat 4 mata peratusan YoY kepada 20.4% disebabkan oleh penjimatan kos direalisasikan pada fasa yang telah siap, manakala penggearan bersih meningkat kepada 0.31 kali daripada 0.33 kali pada Januari 2023.

 

Maybank IB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) pada RM1.02 sesaham.

 

Setakat pukul 10:25 pagi ini, saham Eco World Development susut 1 sen atau 1.2% kepada 81 sen dengan modal pasaran sebanyak RM2.38 bilion.

 

Manakala saham Eco World International susut 0.5 sen atau 0.9% kepada 58 sen, memberikannya permodalan pasaran RM1.39 bilion. - DagangNews.com