Momentum jualan Glomac pada 4QFY24 diunjur meningkat didorong pelancaran projek baharu | DagangNews Skip to main content

Momentum jualan Glomac pada 4QFY24 diunjur meningkat didorong pelancaran projek baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - MIDF Research menjangkakan momentum jualan baharu Glomac Bhd meningkat pada 4QFY24 didorong pelancaran projek Allamanda di Saujana KLIA dan Keys di Lakeside Residences dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM234 juta.

 

Pada masa sama katanya, pelancaran Loop City Residences yang akan datang (GDV: RM338 juta) seharusnya menyokong momentum jualan baharu selepas FY25.

 

"Jualan yang tidak dibilkan bagaimanapun susut kepada RM347 juta pada 3QFY24 berbanding RM451 juta pada 2QFY24, memberikan keterlihatan pendapatan selama setahun kepada kumpulan.

 

"Kunci kira-kira kumpulan kekal kukuh dengan penggearan bersih rendah sebanyak 0.08x," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak lebih 800% kepada RM3.81 juta bagi 3QFY24 berbanding RM419,000 setahun sebelumnya dipacu oleh hasil lebih tinggi daripada pembangunan hartanah serta perniagaan pelaburan hartanahnya.

 

Hasil suku tahunan meningkat 35.38% kepada RM89.35 juta daripada RM66 juta tahun lepas.

 

Bagi tempoh sembilan bulan FY24 (9MFY24), untung bersih Glomac susut 52% kepada RM8.36 juta daripada RM17.41 juta dalam tempoh yang sama pada FY23 akibat sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah dan kos kewangan yang lebih tinggi.

 

Hasil sembilan bulan susut 2.22% kepada RM205.26 juta daripada RM209.93 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan yang lebih rendah dalam 9MFY24 adalah disebabkan oleh margin keuntungan kasar yang lebih rendah yang dicapai sebanyak 25% berbanding 31% dalam 9MFY23.

 

Katanya, penurunan pendapatan juga sebahagiannya disebabkan oleh kos pembiayaan yang lebih tinggi disebabkan kenaikan kadar faedah.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 43 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com