KUALA LUMPUR 1 Nov - Proton memperkenalkan model sedan serba baharunya, S70 yang mana pelanggan boleh menempahnya di semua cawangan Proton di seluruh negara dengan bayaran tempahan sebanyak RM500 mulai hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, ia merupakan model sedan baharu pertama yang ditambahkan ke barisan model Proton sejak pelancaran Proton Persona pada Ogos 2016.
"Proton S70 mencatatkan bab baru bagi Proton kerana kami kembali ke pasaran sedan keluarga dengan model yang merupakan evolusi seterusnya bagi model sedan kami.
"Dilengkapi dengan teknologi keselamatan pintar, pautan, dan enjin turbo berkapasiti 1.5L dengan transmisi kopeling dua, kami mempunyai harapan tinggi bahawa ia akan menjadi popular dalam kalangan peminat Proton sedia ada dan yang baru.
"Ia sekali gus dapat membantu kami kembali ke puncak segmen pasaran yang sebelum ini dipimpin model seperti Proton Wira, Waja, dan Prevé," katanya dalam kenyataan media di sini.
Li Chunrong berkata, upacara penyerahan itu adalah satu lagi langkah penting bagi Proton dalam usaha bersama DRB-Hicom dan Geely untuk menjadikan Tanjung Malim dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) sebagai hab automotif kebangsaan.
Katanya, sejak 2019, syarikat melabur lebih dari RM1.8 bilion bagi menaiktaraf kemudahan dengan membina garisan perakitan enjin baru, bengkel hentakan panel baru, serta barisan perakitan baru.


"Ini memberi harapan yang baik untuk masa depan syarikat, kerana kami berhasrat untuk mengembangkan rangkaian penawaran untuk merangkumi lebih banyak Kenderaan Tenaga Baru (NEV) dan juga, kenderaan elektrik." katanya.
Menyusul jejak Proton X70, Proton X50, dan Proton X90 hibrid ringan, Proton S70 akan menjadi model Proton baharu keempat yang dibangunkan bersama dengan Geely.


Ia juga merupakan model baharu kedua yang ditawarkan pada 2023, dan sebelum pelancaran rasmi, pra-tinjauan pelanggan akan diadakan di beberapa ibu negeri utama di Malaysia bermula dari 11 November 2023 untuk membolehkan orang ramai melihat model ini secara lebih dekat. - DagangNews.com








