KUALA LUMPUR 10 Ogos - Honda Malaysia Sdn Bhd melancarkan model City baharu dengan lima varian, termasuk RS menampilkan bahagian luaran yang lebih garang dan ciri-ciri terkini, dengan harga bermula RM84,900 hingga RM111,900.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, populariti City tidak dapat dinafikan yang mana kini terdapat lebih 423,000 Honda City di jalan raya Malaysia sejak diperkenalkan pada 2002.
Beliau berkata, model tersebut juga boleh didapati dalam dua varian RS, iaitu hibrid e:HEV RS dan Petrol RS.
"City generasi ke-5 yang diperkenalkan pada 2020, meningkatkan lagi segmen B kerana Malaysia adalah negara pertama di dunia yang melancarkan varian e:HEV RS,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Reka bentuk City RS baharu menampilkan Gril Depan Honeycomb baharu, Gril Bawah Depan baharu, Peresap Belakang baharu, Skirting Sisi baharu dan lambang RS yang direka bentuk baharu.
Ciri luaran sporty lain dari City baharu termasuk bampar hadapan dan belakang baharu, Roda Aloi Dwi-Tona 16".
Varian Petrol RS dan e:HEV RS bagi City serba baharu kini lebih panjang dengan reka bentuk bampar yang diperbaharui berukuran 4,589mm panjang manakala varian S, E dan V adalah 4,580 mm panjang.

Varian RS yang paling tinggi dilengkapi dengan rangkaian kuasa 1.5L e:HEV yang menghasilkan 109PS output maksimum dan tork 253Nm yang terbaik dalam kelasnya.
Sementara itu, enjin 1.5 DOHC i-VTEC mampu memberikan kuasa maksimum 121PS dan tork maksimum 145Nm. Untuk memberikan pelanggan pengalaman pemanduan yang menarik dan sporty, Paddle Shift kini didatangkan sebagai standard dalam semua varian petrol.


City serba baharu boleh didapati dalam lima warna iaitu Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Meteoroid Gray Metallic dan Crystal Black Pearl.

Model baharu itu turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan Honda Sensing termaju Honda, ciri standard untuk semua varian yang terdiri daripada fungsi keselamatan, termasuk sistem brek pengurangan pelanggaran dan pengurangan pelepasan laluan.
Honda City Petrol RS dan e:HEV RS mempunyai sambungan telefon pintar, dengan Honda Connect sebagai ciri termaju standard.



Bagi varian bukan RS, pelanggan boleh memilih untuk melengkapkan New Honda City mereka dengan Honda CONNECT pada harga istimewa RM1,500 sehingga Januari 2024. - DagangNews.com








