MNRB menang Anugerah Teknologi Insurans-Kewangan menerusi GO by Takaful IKHLAS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MNRB menang Anugerah Teknologi Insurans-Kewangan menerusi GO by Takaful IKHLAS

Rizal Mohd Zin

KUALA LUMPUR 23 Mei - MNRB Holdings Bhd (MNRB) memenangi Anugerah Teknologi Insurans-Kewangan pada majlis Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2022 baru-baru ini melalui subjenamanya, GO by Takaful IKHLAS.

 

Syarikat itu berkata, GO by Takaful IKHLAS dibina sebagai subjenama untuk memberi perkhidmatan kepada ejen, rakan kongsi dan pelanggan.

 

Ia mempunyai lima fungsi iaitu GO Partner bagi membangunkan ejen digital; GO Serve sebagai perkhidmatan dalam talian pelanggan/ejen termasuk pengurusan tuntutan serta pembayaran; GO Direct untuk memilih dan membeli sijil takaful dalam talian; Go Connect yang bertindak sebagai platform API terbuka untuk integrasi rakan kongsi dan GO Financial yang berfungsi menjadi platform jualan bancatakaful serta sokongan.

 

"Kemenangan ini adalah pengiktirafan kepada usaha kumpulan dalam membina ekosistem digital yang mampu menghubungkan perkhidmatan takaful kami di Malaysia," kata MNRB dalam satu kenyataan.

 

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan MNRB, Rizal Mohd Zin berkata, GO by Takaful IKHLAS diilhamkan dengan melihat bagaimana ia dapat membolehkan inovasi selain relevan pada masa hadapan sehingga ia memutuskan untuk membuka subjenama bagi memperjuangkan ekosistem yang mampu didorong ke hadapan.

 

"Ketika kami datang dengan idea-idea di sebalik ini, kami juga memerlukan satu kaedah untuk menyatukan penawaran sedia ada kami dan membuat penawaran baharu yang bersifat lebih digital.

 

"Cabaran itu menjadi asas kami dan ia bertindak memandu konsep sehingga siap," katanya.

 

Kumpulan itu mengakui bahawa teknologi akan terus memperkasakan inovasi dan anugerah itu adalah inspirasi bagi MNRB untuk terus membangunkan pengalaman yang lebih baik kepada ejen, rakan kongsi dan pelanggan di Malaysia.

 

Rizal berkata, ekosistem GO Digital akan terus bertambah baik dan beliau berharap ia akan memberikan asas yang kukuh bagi perkhidmatan masa depannya yang maju, menurut Bernama.

 

"Sebahagian daripada kelebihan ekosistem digital adalah perkhidmatan kami sentiasa tersedia 24/7. Lebih-lebih lagi, kami juga berusaha menambah baik perkhidmatan dari masa ke masa, dengan ciri -ciri serta keupayaan baharu yang boleh menguruskan cabaran yang kompleks bagi membentangkan pengalaman pelanggan yang lebih baik.

 

"Dengan mempunyai platform intuitif dengan set ciri yang mendalam termasuk perkhidmatan yang boleh dipercayai, ini menyediakan platform digital yang fokus pelanggan yang mantap dan boleh disesuaikan dengan keperluan mereka," katanya. - DagangNews.com