MMAG Holdings sumbang RM100,000 kepada mangsa banjir di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MMAG Holdings sumbang RM100,000 kepada mangsa banjir di Johor

Pengarah Eksekutif MMAG Holdings, Jeff Chong (tiga, kiri), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman (empat, kiri) menyampaikan replika cek sumbangan untuk mangsa banjir kepada Dr Zaliha Mustafa (lima, kiri) di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sekijang, Segamat, Johor baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Mac - MMAG Holdings Bhd menyumbang bantuan sebanyak RM100,000 kepada mangsa terjejas banjir melanda Johor khususnya di kawasan Segamat yang menyebabkan lebih 10,000 orang kehilangan tempat tinggal.

 

Pengerusi MMAG, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, pihaknya berasa sedih menyaksikan kemusnahan akibat banjir yang memberi kesan kepada kehidupan mangsa, memaksa ramai keluarga berpindah dari rumah dan memerlukan bantuan segera. 

 

"Kami memahami kesukaran yang tidak dapat dibayangkan ini dalam tempoh yang sukar. Ingatan dan doa kami bersama mangsa banjir.

 

"Melalui usaha kutipan derma serta sumbangan, kami berharap ia akan membantu komuniti untuk kembali pulih dan membina semula kehidupan ekoran krisis ini. 

 

"Kami juga bersyukur kerana mendapat sokongan Menteri Kesihatan dalam inisiatif ini, dan berharap acara ini dapat mengumpulkan masyarakat untuk menghulurkan sokongan serta bantuan kepada mereka yang terjejas akibat banjir," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, sumbangan tersebut disampaikan kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang juga Ahli Parlimen Sekijang pada 11 Mac 2023 di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sekijang.

 

Sementara itu, bermula hari ini hingga pertengahan April, MMAG Holdings bersama kurier dan cabang logistiknya, Line Clear Express & Logistics Sdn Bhd menawarkan penghantaran bantuan percuma sebagai sebahagian daripada usaha bantuan banjirnya. 

 

 

mmag

 

 

Barangan yang disumbangkan akan diambil dari semua hab yang mengambil bahagian dan dihantar ke Line Clear Express Yong Peng Hub, seterusnya dihantar ke Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sekijang.

 

Orang ramai boleh menghantar barangan keperluan seperti pakaian, selimut, lampin, makanan kering, air bersih, barangan kebersihan dan peralatan mandian ke tempat menghantar di hab terpilih di seluruh Semenanjung.

 

Inisiatif kutipan derma dan sumbangan serta penyampaian bantuan percuma adalah sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam tanggungjawab sosial korporat dan menyumbang kembali kepada komuniti yang mereka berkhidmat. 

 

Barangan sumbangan untuk mangsa banjir akan dihantar ke kawasan yang terjejas teruk seperti Kluang, Kota Tinggi dan Segamat serta daerah lain yang memerlukan bantuan. - DagangNews.com