Minetech terima Sijil Ujian Pentauliahan daripada Suruhanjaya Tenaga untuk loji janakuasa di Manjung | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Minetech terima Sijil Ujian Pentauliahan daripada Suruhanjaya Tenaga untuk loji janakuasa di Manjung

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Pakar kejuruteraan awam dan pengeluar produk bitumen, Minetech Resources Berhad menerusi anak syarikatnya, Coral Power Sdn. Bhd. secara rasminya menerima Sijil Ujian Pentauliahan (CTC) daripada Suruhanjaya Tenaga untuk Loji Janakuasa Solar Skala Besar (LSS) di kawasan seluas 24.3 hektar di Manjung.

 

Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020), Minetech mengiktiraf potensi tenaga boleh diperbaharui (RE) dan telah mengenal pasti tenaga solar sebagai sumber yang mampan dan berdaya maju.

 

Menurut perjanjian pembelian tenaga (PPA) dan surat Tenaga Nasional Berhad (TNB), loji janakuasa Coral Power dibenarkan untuk beroperasi secara komersial bermula 29 Mei lepas. 

 

Pengurusan Minetech berkata, pihaknya berbangga dengan kejayaan itu dan menyatakan bahawa pelaburan di dalam sektor RE bukan sekadar keputusan perniagaan tetapi ia menyatakan komitmen kumpulan itu bagi meneruskan perkembangan mampan.

 

"Dengan penjanaan 9.99MW tenaga bersih, kami menyumbang kepada alam sekitar dan memastikan sumbangan mampan jangka panjang kepada hasil syarikat selama 21 tahun.

 

"Semasa pelancaran loji janakuasa itu, kami bukan sahaja memberi fokus kepad pertumbuhan kewangan segera tetapi melihat prospek jangka panjang tenaga hijau," katanya.

 

Kumpulan itu komited untuk meneruskan penerokaan dan pengembangannya dalam sektor RE dan menyelaraskan amalan perniagaan mereka dengan matalamat menyediakan masa depan yang lebih baik untuk semua.

 

Terdahulu, loji janakuasa itu dibangunkan oleh Ocean Vantage Engineering Sdn. Bhd. pada 2020 dengan kontrak bernilai RM29.6 juta.

 

Loji terapung LSS yang merupakan sebahagian daripada LSS fasa dua itu dibina di atas kolam yang terletak di Manjung, Perak. - DagangNews.com