MIER menjangkakan ‘pelarasan kecil’ kepada subsidi RON95 pada Julai atau Oktober tahun ini | DagangNews Skip to main content

MIER menjangkakan ‘pelarasan kecil’ kepada subsidi RON95 pada Julai atau Oktober tahun ini

KUALA LUMPUR 13 Jun - Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan 'pelarasan kecil' kepada subsidi petrol RON95 dan menjangkakan ia akan dilaksanakan oleh kerajaan pada Julai atau Oktober tahun ini, selepas penilaian kesan rasionalisasi subsidi diesel dilakukan.

 

Pengarah Eksekutifnya, Dr Anthony Dass menjangkakan pelarasan itu tidak setinggi subsidi diesel baru-baru ini, yang menyaksikan kenaikan ketara dalam harga diesel daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter.

 

“Kita perlu melihat kesan (rasionalisasi subsidi diesel). Bagaimana...jadi, mungkin, kita perlu memberikan tempoh tangguh tiga hingga enam bulan.

 

 

 

“Kita perlu melihat analisis impak terlebih dahulu, dan bagaimana rakyat menyesuaikan diri (dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel). Daripada itu, kerajaan boleh membuat pelarasan seterusnya kepada (subsidi untuk) RON95.

 

"Saya rasa mungkin berlaku pada Oktober kerana ia memberi mereka (kerajaan) ruang yang luas untuk melihat analisis impak,” katanya kepada pemberita selepas Seminar Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)-Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), hari ini, lapor Bernama.

 

MIER
Dr Anthony Dass

 

Bermula 10 Jun 2024, harga diesel di stesen runcit petrol Semenanjung ditetapkan pada RM3.35 seliter, iaitu harga tanpa subsidi berdasarkan purata Mei 2024 dengan menyaksikan kenaikan 56% berbanding sebelumnya.

 

Mengenai kesan pelarasan harga diesel kepada indeks harga pengguna (IHP), Dass menegaskan bahawa kenaikan 1% dalam harga diesel hanya menyebabkan kesan kira-kira 0.2% ke atas IHP.

 

Justeru, katanya impaknya hampir boleh diabaikan manakala seumbangan RON95 kepada IHP adalah sekitar 5.5%.

 

Terdahulu, semasa pembentangannya bertajuk "Ekonomi Dunia: Cabaran dan Peluang", Dass berkata, kebanyakan ketidaktentuan dalaman di Malaysia telah diselesaikan, yang akan menyokong pertumbuhan ekonomi, pada masa hadapan.

 

“Pihak penawaran menyokong ekonomi dari segi pasaran pekerjaan; serta dari segi permintaan dan pendapatan. 

 

"Kami juga menjangkakan eksport meningkat tahun ini. Malaysia secara konservatif melihat pada 3.2% hingga 3.5%, tetapi kita boleh naik sehingga 5% tahun ini.

 

"Jika dilihat kepada dasar moneteri, kami tidak menjangkakan sebarang perubahan pada kadar dasar," katanya semasa pembentangan, sambil menambah bahawa MIER mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada 4.7% pada 2024, dan kadar inflasi pada 3% pada 2024.

 

Bagi 2025, MIER menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.8% dan inflasi pada 2.9%.

 

Beliau juga meramalkan bahawa ringgit pada tahun ini ditutup pada kadar RM4.65 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dan RM4.40 berbanding dolar AS pada 2025, dipengaruhi kadar faedah negara itu.- DagangNews.com