MIDF unjur KDNK 2021 berkembang 5.4% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF unjur KDNK 2021 berkembang 5.4%

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 April - MIDF Research mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang 5.4% tahun ini di sebalik kelembapan ekonomi pada suku pertama berikutan pelaksanaan semula perintah sekatan pergerakan (PKP).

 

Unjuran itu bagaimanapun lebih rendah berbanding jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) yang ekonomi negara akan berkembang antara 6 hingga 7.5% tahun ini.

 

Menurut firma itu, PKP 2.0 dilihat memberi kesan besar kepada perbelanjaan penggunaan domestik tetapi perniagaan kebanyakannya dibenarkan terus beroperasi. 

 

Jelasnya, apabila sekatan dilonggarkan secara berperingkat dan PKP 2.0 ditamatkan, aktiviti ekonomi dijangka bertambah baik pada suku kedua dan seterusnya. 

 

"Ini akan disokong oleh rangsangan fiskal dari kerajaan, dasar monetari yang akomodatif dan sentimen bertambah baik dengan pelaksanaan program vaksin.

 

"Pertumbuan pada suku kedua 2021 juga dijangka lebih kukuh setelah kesan asas pertumbuhan ekonomi negara menjunam pada tempoh sama tahun lalu apabila PKP 1.0 diperkenalkan," katanya dalam laporan bulanan April 2021 hari ini. 

 

MIDF Research berkata, data-data ekonomi yang dikeluarkan untuk Mac 2021 juga menunjukkan angka yang lebih kukuh berbanding jangkaan sebelum ini. 

 

Eksport misalnya akan terus disokong oleh permintaan luar yang berkembang daripada rakan dagangan utama, tambahnya.

 

Jumlah dagangan Malaysia pada Mac berkembang 25.6% manakala eksport melonjak 31%, paras tertinggi sejak Julai 2017, bernilai RM104.9 bilion. Import juga meningkat 19.2%, tertinggi sejak Oktober 2017.

 

Indeks Pelopor (IP), alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata 4 hingga 6 bulan ke hadapan terus mencatat pertumbuhan positif pada Februari 2021 daripada tahun sebelumnya.

 

IP meningkat 8.5% kepada 111.2 mata pada Februari 2021, tertinggi sejak September 2020 didorong oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia, yang mencerminkan pertumbuhan Indeks Penjagaan Kesihatan, Indeks Pengangkutan & Logistik dan Indeks Utiliti.

 

Meskipun firma itu menjangkakan indeks pengeluaran perindusrian (IPI) yang lebih baik pada Februari 2021 tetapi ia tetap mengekalkan pertumbuhan dengan berkembang 1.5% tahun ke tahun berbanding 1.2% pada bulan sebelumnya berikutan pertumbuhan eksport yang lebih kukuh pada bulan berkenaan.

 

Di sebalik petunjuk-petunjuk ke arah pemulihan ekonomi, MIDF Research bagaimanapun mendapati situasi semasa pandemik COVID-19 masih membimbangkan. 

 

"Malah, terdapat petanda yang Malaysia mengalami gelombang baharu COVID-19 memandangkan kes jangkitan semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. 

 

"Di samping itu, tinjauan makroekonomi turut dipengaruhi oleh pengurusan vaksin yang perlahan sama ada di peringkat domestik mahupun global," katanya. - DagangNews.com