KUALA LUMPUR 9 Jun - MIDF Research mengunjurkan purata kadar pengangguran berada pada paras 3.5% pada tahun ini.
Firma itu berkata, pasaran tenaga kerja di Malaysia dijangka terus mengukuh pada tahun ini disokong oleh momentum positif yang berterusan dalam ekonomi domestik dan pengembangan sederhana dalam sektor luar.
Firma itu juga menjangkakan kadar pengangguran Malaysia akan menurun lagi kepada 3.5% namun tinggi sedikit daripada paras pra-pandemik sebanyak 3.3%.
"Pengembangan yang kukuh dalam sektor utama termasuk pembinaan dan perkhidmatan akan meningkatkan lebih banyak peluang pekerjaan tahun depan.
"Tenaga kerja dan guna tenaga dijangka meningkat masing-masing sebanyak 1.6% tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa kadar pengangguran pada April 2023 kekal pada 3.5% namun bilangan penganggur terus berkurangan kepada 586,900 orang.
Pasaran tenaga kerja kekal stabil, dengan peningkatan berterusan dalam bilangan tenaga buruh yang disumbangkan oleh pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja dan penurunan berterusan dalam bilangan penganggur.
Bilangan tenaga buruh pada April 2023 terus meningkat, dengan kenaikan sebanyak 0.2% merekodkan 16.84 juta orang berbanding 16.81 juta orang pada bulan sebelumnya. - DagangNews.com








