KUALA LUMPUR 19 Mei - MIDF Research menyemak turun unjuran pertumbuhan eksport kepada 3.4% dan import sebanyak 1.9%.
Firma itu berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan jumlah dagangan yang ditunjukkan pada April 2023 dan kini mereka menjangkakan kedua-dua segmen itu akan mencatatkan penurunan pada tahun ini.
Katanya, walaupun pemulihan China boleh menjadi rangsangan kepada aktiviti perdagangan antarabangsa tahun ini, fima itu melihat permintaan global yang lemah terutama untuk barangan perkilangan.
Selain itu katanya, tekanan terhad pada harga dengan asas yang tinggi yang diterjemahkan kepada prestasi perdagangan luar yang lebih perlahan tahun ini.
"Kami menjangkakan harga komoditi yang lebih rendah akan terus menjejaskan eksport berasaskan sumber dalam beberapa bulan akan datang.
BACA JUGA: Dagangan Malaysia merosot 14.5% kepada RM198 bilion pada April 2023 - DOSM
"Prospek perdagangan boleh menjadi lebih lemah jika inflasi global kekal tinggi, bank pusat terus mengetatkan dasar monetari dan risiko geopolitik semakin merosot.
"Walaupun terdapat kelemahan dalam perdagangan luar, kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan kekal positif, dipacu oleh pertumbuhan yang mampan dalam permintaan dalam negeri memandangkan prospek positif bagi perbelanjaan pengguna dan pasaran pekerjaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, prestasi dagangan Malaysia rendah pada April 2023 selepas menyusut 14.5% kepada RM198 bilion tahun ke tahun susulan ekonomi global yang tidak menentu.
Prestasi eksport Malaysia merosot 17.4% daripada RM127.6 bilion kepada RM105.4 bilion pada April 2023 susulan eksport domestik yang lebih rendah. - DagangNews.com








