MIDF Research saran tunggu dan lihat kenaikan tarif sarung tangan China, AS ada sejarah 'pusingan U' | DagangNews Skip to main content

MIDF Research saran tunggu dan lihat kenaikan tarif sarung tangan China, AS ada sejarah 'pusingan U'

Hartalega punya rekod prestasi yang kukuh dalam membekalkan sarung tangan getah ke Amerika Syarikat (AS). -Gambar Hartalega
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Mei - MIDF Research mengekalkan saranan Neutral ke atas sektor sarung tangan getah dengan tidak menolak kemungkinan pengumuman kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas produk tersebut dari China mungkin diteliti semula kadarnya.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mencadangkan pendekatan 'tunggu dan lihat' yang berhati-hati terhadap pengumuman Presiden AS, Joe Biden mengenai kenaikan tarif ke atas sarung tangan perubatan dan pembedahan getah China daripada 7.5% kepada 25% pada 2026.

 

Katanya, apatah lagi AS bakal mengadakan Pilihan Raya Presiden hujung tahun ini dengan masih tiada pemenang yang jelas dengan Biden dijangka dinamakan secara rasmi pada Ogos ini bagi mewakili Demokrat.

 

 

"Mengambil kira bahawa tarif import 15% yang dikenakan ketika era pentadbiran Donald Trump telah dirundingkan menjadi 7.5% semasa perjanjian perdagangan Fasa 1 AS-China pada Februari 2019, kami tidak menolak kemungkinan perubahan dalam kadar tersebut," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, MIDF Research juga tidak membuat perubahan kepada ramalan pendapatan atau cadangan syarikat dengan mengekalkan saranan sektor ini sehingga adanya penjelasan lanjut termasuk keputusan kewangan Kossan dan Hartalega bulan ini.

 

Kata MIDF Research, kehadiran pasaran yang kukuh dan reputasi produk berkualiti tinggi meletakkan pengeluar sarung tangan Malaysia pada posisi yang baik untuk menjamin pesanan jualan jika hospital-hospital AS beralih dari pembekal China. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kenaikan tarif AS ke atas produk China mungkin bawa impak positif kepada pembuat sarung tangan Malaysia

 

Walau bagaimanapun, firma penyelidikan itu juga tidak menolak kemungkinan import sarung tangan perubatan dari negara lain mungkin menjadi pilihan seterusnya, mengambil kira inisiatif untuk menyokong industri bekalan perubatan domestik.

 

Katanya, data Majlis Getah Malaysia menunjukkan sarung tangan getah menyumbang 70.8% daripada eksport produk getah sehingga 1QCY24, dengan AS menjadi pengguna terbesar, menyumbang 32% daripada jumlah eksport. 

 

"Di antara pengeluar sarung tangan ini, Hartalega mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam membekalkan sarung tangan ke AS, mewakili 50-56% daripada jualan keseluruhan. 

 

"Walaupun jualan eksport ke AS sebelum ini mendominasi pendapatan Top Glove dengan penyumbangan pra-pandemik sebanyak 31-42%, tetapi merosot ke  25% pada tahun 2021 berikutan larangan import CBP AS (di tengah-tengah dakwaan amalan buruh yang menindas). 

 

"Setelah larangan tersebut telah ditarik balik, keadaan penyaluran berlebihan telah menekan pendapatan AS Top Glove untuk kekal dalam julat 25% daripada pendapatan keseluruhan," jelasnya.

 

Melihat ke hadapan, firma penyelidikan itu tetap berhati-hati kerana persaingan sengit dijangka terus memberikan tekanan ke atas harga untuk semua pengeluar sarung tangan. 

 

"Di sisi positif, pemulihan stok selepas tamat tempoh simpanan pandemik dijangka mengukuhkan permintaan sarung tangan dan meningkatkan jualan. 

 

"Penutupan fasiliti pengeluaran beberapa sementara dan kekal baru-baru ini mungkin dapat meningkatkan kecekapan pengeluaran dan mengurangkan kos pengeluaran per unit. 

 

"Secara ringkas, kami mengekalkan NEUTRAL pada sektor sarung tangan. Pada masa ini, kami tidak mempunyai pilihan teratas, kerana semua pengeluar sarung tangan dalam liputan kami terutamanya dinilai NEUTRAL atau SELL," ujarnya. - DagangNews.com