MIDF Research positif terhadap penubuhan ENEGEM, permudah urusan jualan elektrik rentas sempadan | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap penubuhan ENEGEM, permudah urusan jualan elektrik rentas sempadan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 April - MIDF Research positif terhadap terhadap penubuhan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) bagi memudahkan jualan elektrik hijau merentas sempadan dan menyokong antara komponen utama Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

Bagaimanapun katanya, pengumuman yang dibuat Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) semalam tidak menyebut sebarang maklumat terperinci mengenai skim eksport tersebut.

 

"Berdasarkan butiran dalam Garis Panduan Jualan Elektrik Rentas Sempadan (CBES) terkini, loji RE tempatan dijangka memasuki perjanjian pembelian kuasa (PPA) dengan Single Buyer untuk bekalan tenaga untuk eksport RE.

 

"Kapasiti eksport perintis 100MW adalah kecil tetapi bagi jangka panjang, kami melihat bahawa Singapura sedang mencari peluang untuk mengimport sehingga 3.5GW elektrik hijau menjelang 2035," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: ENEGEM jadi platform urusan perdagangan tenaga rentas sempadan - Petra

 

Firma penyelidikan itu berkata, sebagai pengendali ENEGEM, Single Buyer akan menjadi badan utama mengagihkan bekalan RE dari Malaysia dan menguruskan tenaga eksport kepada pembeli di Singapura.

 

Katanya, mereka juga akan bertindak sebagai pengeluar Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) berkaitan eksport RE.

 

"Menerusi CBES terkini, eksport RE akan menggunakan hubungan antara negara jiran Semenanjung Malaysia (iaitu Singapura dan Thailand) sedia ada manakala eksport ke Singapura akan melalui sambungan Johor-Singapura.

 

"Tarif eksport akan merangkumi komponen seperti harga tenaga, REC, perkhidmatan grid, yuran transaksi dan sumbangan kepada dana (penyediaan dana oleh kerajaan untuk memudahkan peralihan tenaga untuk sektor tersebut)," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor utiliti memandangkan prestasi harga yang kukuh serta penilaian yang meluas. - DagangNews.com