MIDF Research: Pelabur asing terus jual RM58.7 juta ekuiti Malaysia bagi minggu kelima berturut-turut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research: Pelabur asing terus jual RM58.7 juta ekuiti Malaysia bagi minggu kelima berturut-turut

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mei - Pelabur asing terus menjual bersih RM58.7 juta ekuiti tempatan bagi minggu kelima berturut-turut, kira-kira 3.6 kali lebih rendah daripada RM211 juta minggu sebelumnya, kata MIDF Research.

 

Pada minggu lalu, mereka telah membeli bersih pada Isnin (RM10 juta) dan Jumaat (RM42.6 juta) namun menjadi penjual bersih dari Selasa hingga Khamis.

 

Ini menjadikan pelabur asing penjual bersih selama 15 daripada 21 minggu tahun ini, dengan jumlah aliran keluar sebanyak RM2.45 bilion.

 

“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih asing adalah pengangkutan dan logistik (RM103.8 juta), teknologi (RM58.6 juta) dan telekomunikasi dan media (RM50.4 juta).

 

Manakala tiga sektor dengan aliran keluar bersih asing tertinggi pada perkhidmatan kewangan ( RM122.8 juta), produk & perkhidmatan pengguna (RM68.3 juta) dan REIT (RM21.9 juta),” kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan bertukar menjadi penjual bersih minggu lepas pada RM32.4 juta selepas empat minggu membeli.

 

Mereka hanya membeli bersih pada Selasa sebanyak RM29.1 juta dan menjual bersih sepanjang minggu.

 

“Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih selama 15 daripada 21 minggu, dengan jumlah belian bersih RM2.41 bilion,” katanya.

 

Sebaliknya, pelabur runcit tempatan bertukar menjadi pembeli bersih pada RM91.1 juta minggu lepas selepas tiga minggu membuat jualan bersih.

 

Menurut firma itu, setiap hari dagangan mencatatkan aliran masuk kecuali Jumaat, dengan jualan bersih sebanyak RM4.5 juta.

 

Setakat ini, pelabur runcit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 10 daripada 21 minggu dengan jumlah belian bersih RM39.9 juta.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan telah meningkat pada pelabur runcit (1.4%), pelabur institusi tempatan (12.6%) dan pelabur asing (18.2%),” jelasnya. -DagangNews.com