KUALA LUMPUR 22 Nov - MIDF Research menyemak turun unjuran keuntungan MSM Malaysia Holdings Bhd. sebanyak 20% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) memandangkan kos pengeluaran dijangka terus meningkat.
Ini berikutan harga gas yang lebih tinggi dan kadar penggunaan rendah terutama di kilang penapisan MSM JOhor yang masih beroperasi di bawah paras 65%.
Namun, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap MSM Malaysia dengan harga sasaran tidak berubah pada 83 sen.
"Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, ia mencatat hasil direalisasikan sebanyak -RM140.5 juta berbanding keuntungan RM92.8 juta bagi tahun sebelumnya, berada di bawah jangkaan kami dan konsensus," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Kenaikan kos input jejaskan MSM Malaysia, rugi RM72.8 juta pada suku ketiga
MSM Malaysia mencatat kerugian bersih berjumlah RM72.8 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM96.86 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Kerugian ini disebabkan kos input yang lebih tinggi terutamanya harga gula mentah, kos pengangkutan, gas asli dan kelemahan ringgit.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat kepada RM668.13 juta daripada RM548.65 juta berikutan peningkatan harga jualan purata (ASP).
Bagi tempoh sembilan bulan, kumpulan mencatat kerugian bersih berjumlah RM134.55 juta daripada keuntungan bersih RM141.51 juta, dengan pendapatan meningkat kepada RM1.89 bilion daripada RM1.62 bilion.
Setakat 9.24 pagi ini, harga sahamnya susut 3.5 sen atau 4.14% kepada 81 sen dengan 159,700 saham diniagakan. - DagangNews.com








