MIDF Research kekalkan saranan 'Neutral' Malaysia Airports sehingga butiran perjanjian didedah | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekalkan saranan 'Neutral' Malaysia Airports sehingga butiran perjanjian didedah

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Mac - MIDF Research mengekalkan saranan 'Neutral' ke atas Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM8.72 sesaham.

 

Ini di sebalik perjanjian baharu antara kerajaan Malaysia dan Malaysia Airports yang membolehkan syarikat itu mengurus dan membangunkan 39 lapangan terbang sehingga 11 Februari 2069.

 

Menurut firma penyelidikan itu, unjuran ini sehingga butiran lanjut mengenai perjanjian operasi (OA) dan perjanjian pajakan (LA) antara Malaysia Airports dan Kerajaan Malaysia diperoleh.

 

"Caj perkhidmatan penerbangan (ASC) yang dinyatakan dalam kertas keputusan terkini Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan berkuat kuasa mulai 24 Jun (laporan).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia Airports diberi hak urus lapangan terbang 45 tahun lagi sehingga Feb 2069

 

"Butiran lanjut mengenai OA dan LA baharu akan didedahkan semasa sesi taklimat pada 20 Mac 2024.

 

"Anggaran pendapatan sema dan TP kami kekal tidak berubah pada RM8.75 sesaham," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kata MIDF Research, peratusan caj perkhidmatan pengguna akan menjalani semakan pada asas tiga tahun. 

 

"Pada masa ini, Malaysia Airports membayar kira-kira 13% daripada jumlah keseluruhan hasil kepada kerajaan Malaysia, dengan peningkatan tahunan sebanyak +0.25%. 

 

"Mengikut dengan OA baharu, 50% daripada caj perkhidmatan penumpang (PSC) komponen yang dipertimbangkan dalam pengiraan yuran pengguna akan diarahkan ke tabung pembangunan lapangan terbang (ADF)," jelasnya.

 

Sementara itu, jelas firma penyelidikan itu, Malaysia Airports pasti terlibat semakan semula perjanjian jika kerajaan Malaysia mahu menjalankan penstrukturan atau penyusunan semula industri.

 

"Malaysia Airports dan kerajaan Malaysia akan bekerjasama tentukan syarat yang dipersetujui yang disemak untuk digabungkan dalam OA baharu," ujarnya. - DagangNews.com