Malaysia Airports diberi hak urus lapangan terbang 45 tahun lagi sehingga Feb 2069 | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airports diberi hak urus lapangan terbang 45 tahun lagi sehingga Feb 2069

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Mac - Malaysia Airports Holdings Bhd (Malaysia Airports) dan kerajaan menandatangani perjanjian baharu yang memberikan hak kepada syarikat itu untuk menguruskan 39 buah lapangan terbang di negara ini untuk tempoh selama 45 tahun lagi, berakhir 11 Februari 2069.

 

Perjanjian itu termasuk perjanjian operasi (OA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perjanjian berasingan untuk lapangan terbang yang ditetapkan termasuk lapangan terbang berlepas dan mendarat singkat (STOLports). 

 

"Syarikat telah menyertai Perjanjian Operasi dan Perjanjian Pajakan (LA) dengan Kerajaan pada 18 Mac 2024 yang mengesahkan operasi, pengurusan, penyelenggaraan dan pembangunan 39 lapangan terbang dan STOLports sehingga 11 Februari 2069 (OA baharu)," kata Malaysia Airports dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.

 

Malaysia Airports berkata, OA baharu menawarkan keanjalan kepada pihaknya untuk meneruskan pelaburan strategik yang diperlukan bagi meningkatkan kapasiti lapangan terbang, kemudahan dan infrastruktur.

 

"Dengan terma komersial yang menggalakkan dan mekanisme pulangan pelaburan yang telus, perjanjian ini memupuk laluan pembangunan yang seimbang dan mampan untuk kumpulan dan rangkaian lapangan terbangnya, yang memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan ekonomi untuk Malaysia," katanya.

 

mas mahb

 

Pelaksanaan OA Baharu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan, pendapatan per saham dan aset bersih sesaham Kumpulan Malaysia Airports.

 

"Dan tidak dijangka mempunyai sebarang kesan material ke atas modal saham, pegangan saham pemegang saham yang besar dan gearing Syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024," kata Malaysia Airports.

 

Dalam majlis perjanjian tersebut, kerajaan diwakili Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).

 

Turut hadir pada majlis tersebut di Sepang ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

 

 

MAHB mengendalikan pintu masuk utama negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 serta lebih 30 lagi lapangan terbang.

 

OA sedia ada telah ditandatangani pada Februari 2009, yang berkuat kuasa selama 25 tahun sehingga 11 Feb 2034.

 

Bagaimanapun, pada 12 April 2019, MAHB mengumumkan bahawa Kabinet telah meluluskan lanjutan konsesi MAHB untuk mengendalikan 39 lapangan terbang di negara ini dari 2034 hingga 2069.

 

loke
ANTHONY LOKE

 

Anthony berkata, syarat baharu di bawah OA dan LA akan membolehkan kedua-dua pihak melaksanakan pelan pembangunan komersial yang lebih berdaya saing.

 

“Dengan pelaksanaan konsep subsidi silang, semua aspek pengurusan dan operasi 17 STOLports (lapangan terbang jalur udara lepas landas dan mendarat) yang menjadi tanggungjawab sosial kerajaan pada masa ini, akan terus diamanahkan kepada MAHB sehingga 2069.

 

“Pelaksanaan OA dan LA baharu juga akan membolehkan Malaysia Airports merancang pembangunan jangka panjang yang lebih baik untuk semua lapangan terbang di bawah seliaannya, dengan mengambil kira kepakaran dan pengalaman Malaysia Airports yang telah menunjukkan prestasi dan pencapaian cemerlang.

 

“Ia juga akan membolehkan Malaysia Airports membantu meringankan beban kerajaan dengan mengambil alih kos pembangunan melibatkan lapangan terbang berdaya saing dan berdaya saing pada masa hadapan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara MAHB dan kerajaan hari ini.

 

Sementara itu, dalam kenyataan media, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohamed Rastam Shahrom berkata, syarat baharu itu memberikan fleksibiliti kepada kumpulan untuk melabur secara strategik dalam pembangunan dan pemodenan lapangan terbang mengikut keperluan, mengurangkan sebarang beban kewangan kepada kerajaan Malaysia.

 

"Ini dibantu oleh mekanisme pulangan modal yang dinyatakan dalam perjanjian," katanya. - DagangNews.com