KUALA LUMPUR 18 Mac - MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' bagi saham Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) dengan menyemak naik harga sasaran (TP) RM0.91 sesaham berbanding RM0.80 didorong oleh prospek jualan yang stabil.
EcoWorld Malaysia mencatatkan rekod jualan hartanah baharu sebanyak RM1.27 bilion untuk bulan pertama FY22 dan mereka berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran jualan RM3.5 bilion untuk tahun kewangan yang sama.
Sebahagian besar jualan baharu itu disumbangkan projek wilayah tengah sebanyak 56% diikuti wilayah selatan (25%) dan wilayah utara sebanyak 19%.
"Walaupun jangkaan jualan dilihat positif namun kami melihat prospek pendapatan kumpulan itu adalah mendatar bagi FY22," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu merekodkan untung bersih sebanyak RM63.36 juta bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2022, hanya meningkat 1.49% daripada RM62.43 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 5.1% kepada RM533.42 juta berbanding RM507.35 juta.
BACA JUGA: EcoWorld Malaysia catat untung RM63.36 juta pada suku pertama
Ia didorong jualan sebanyak RM1.28 bilion bagi tempoh 1 November 2021 hingga 28 Februari 2022, meningkat 40.1% berbanding RM911 juta bagi tempoh 4 bulan pertama tahun kewangan 2021.
Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan kumpulan itu bagimanapun menurun akibat sumbangan yang kurang daripada kerjasama antarabangsa EcoWorld International Berhad yang merekodkan kerugian pada 1QFY22 akibat keuntungan yang kecil daripada projek Yara One dan West Village.
Pendapatan bersih bagi 1QFY22 adalah lebih rendah iaitu pada RM61.5 juta iaitu penurunan 38.7% berbanding suku ke suku dan ia disumbangkan oleh jualan hartanah yang siap sepenuhnya pada 4QFY21.
"Bagaimanapun penurunan pendapatan itu berjaya diimbangkan oleh perbelanjaan pengurusan yang rendah iaitu kurang 12.2% berbanding tahun ke tahun dan kos kewangan yang rendah. - DagangNews.com







